SAUDARA PENGARANG,
BAGI menyambut permulaan tahun baharu 2023, Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak lupa menonjolkan ucapan selamat menteri-menteri Kabinet.
Salah seorang menteri itu, dalam perutusannya, antara lain menyebut perkataan ‘pasca’ sebagai ‘paska’. Sebelum ini, pernah juga seorang bekas Perdana Menteri menyebut perkataan sama dengan sebutan ‘paska’.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengulas isu ini pada 2007 apabila menyatakan kebanyakan orang yang menyebut sebagai ‘paska’ kerana terikat dengan sebutan dalam bahasa Inggeris, ‘c’ yang dilafazkan sebagai ‘k’.
Dalam kedua-dua keadaan ini, tidak nampak ada usaha untuk membetulkan kesalahan, daripada pegawai peribadi, penulis skrip, pengarah studio atau pegawai perhubungan yang meneruskan siaran atau ucapan salah itu tanpa pembetulan. Adakah kerana tidak tahu, tidak kisah atau sengaja meremehkan kesalahan sebutan ini?
Ia membawa kita ke persoalan yang lebih besar lagi iaitu tentang bahasa Melayu kita yang semakin lama semakin hilang seri dan wajah estetik serta praktikalitinya di dunia moden sekarang.
Bahasa kita sudah menjadi bahasa rojak, bahasa pasar yang hanya digunakan di pasar basah sahaja. Penggunaan bahasa rojak telah berkembang sehingga menjalar di hampir semua stesen radio, televisyen, media sosial dan institusi pengajian negara tanpa dapat disekat lagi penularannya.
Mungkin oleh kerana itu, tiada siapa yang peduli apabila kesalahan secara terang-terangan berlaku di media rasmi kerajaan seperti yang diterangkan di atas. Adakah tahun 2023 ini akan terus berlalu tanpa perubahan dalam pembinaan bahasa Melayu kita yang betul dan dihormati?
Medium
Dalam pada itu, saya yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai kekuatan untuk meneruskan misi memartabatkan lagi bahasa Melayu ke tempat yang selayaknya. Satu pernyataan dasar dan pelan tindakan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri boleh menjadi pencetus kepada perubahan ini.
Pernyataan dasar yang berbunyi perlu digerakkan usaha menyusun semula penggunaan dan pembetulan semua yang salah dalam bahasa Melayu termasuk tatabahasa, nahu, istilah dan bahasa lisan, oleh semua yang terlibat sehingga ia menjadi sepadu di semua peringkat kehidupan rakyat dan negara.
Peranan DBP sebagai peneraju utama perubahan ini perlu diperkasa dan diiktiraf oleh negara. RTM harus menjadi medium utama untuk menggerakkan perubahan ini diikuti dengan media massa swasta dan media sosial serta gerakan ini akan disusuli dengan institusi pengajian dan semua pentadbiran kerajaan serta swasta.
RTM dalam semua terbitannya, laporan lapangan dari pemberita, penulis, penyunting rencana dan penyampai, perlu diberi pendedahan semula semua aspek bahasa yang betul dan tepat serta menggunakannya dalam tugas harian mereka.
Mereka juga perlu menyunting dan membetulkan setiap wawancara yang diterbitkan di semua saluran RTM agar setiap keluaran mempunyai mutu yang tinggi dari segi bahasa dan persembahannya.
Mungkin sudah sampai masanya RTM menjadi rujukan dan penanda aras bahasa Melayu dan penggunaannya, seperti juga stesen penyiaran kerajaan Britain, Perbadanan Penyiaran British (BBC) yang menjadi rujukan penanda aras bagi bahasa Inggeris.
Apabila telah ada usaha ke arah ini dengan iltizam politik yang tinggi, perubahan yang cepat akan kelihatan di setiap sudut kehidupan kita. – UTUSAN
BADRUDDIN, Petaling Jaya