SAUDARA PENGARANG,
KEPUTUSAN Perhimpunan Agong UMNO (PAU) 2022 yang meluluskan usul tambahan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden dikekalkan memang mengecewakan. Pun begitu, ia sudah diduga dan tidak mengejutkan malah secara tidak langsung semakin menggamit sokongan berbentuk liabiliti daripada orang Melayu khususnya menjelang pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri. Dalam jangka panjang bakal membawa rebah kepada parti itu yang selama ini dianggap sebagai sebuah parti keramat berperisaikan lambang keris.
Antara persoalan berbangkit adalah:
1. Adakah usul yang diluluskan perwakilan selari atau relevan dengan kehendak manamana klausa dalam perlembagaan parti? Jangan pula usul berkenaan diluluskan secara membuta tuli sehingga melenyapkan serta mengetepikan proses demokrasi dalaman parti berkenaan.
2. Jika bertentangan, pindaan perlembagaan parti perlu dibuat sebelum meluluskan sebarang usul tambahan supaya boleh dipraktikkan secara telus dan tanpa prasangka.
3. Bagaimanapun, kita berharap tiada pihak yang akan memanjangkan isu berkenaan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebagai satu pertikaiaan atas alasan usul yang diluluskan berkenaan bercanggah dengan kehendak perlembagaan parti, yakni setiap tiga tahun wajib diadakan pemilihan.
4. Soal teknikal dari sudut perundangan serta perlembagaan parti wajar ditangani segera supaya UMNO kekal kukuh dan relevan bukan sahaja kepada ahli malah orang Melayu. Sepatutnya dalam situasi tekanan defisit sokongan daripada orang Melayu terhadap UMNO menerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu ‘dijernihkan’ melalui pemilihan dan bukannya memberi imuniti kepada presiden dan timbalan presiden sedia ada.
Soal kalah atau menang dalam suasana wujudnya demokrasi demi menjaga imej parti nampaknya telah tertutup ketika kedudukan parti berkenaan berada di landasan yang semakin tersepit.
Walaupun kini bersama pentadbiran kerajaan perpaduan, namun ia tetap tidak dapat menjawab persoalan tentang rasional kedua-dua jawatan berkenaan tidak dipertandingkan?
Maka, barisan kepimpinan UMNO perlu bersangka baik dalam setiap kritikan membina ini termasuk wujud perasaan serta persepsi bahawa secara realitinya ahli atau akar umbi UMNO bukannya identiti yang absah dalam membawa hala tuju sokongan Melayu kepada parti berkenaan.
Berkemungkinan sokongan membawa rebah ini mampu berterusan sehingga PRU16 jika tidak ditanggani atas dasar kepentingan parti.-UTUSAN
RAHMAD ISAHAK
Aktivis politik