SAUDARA PENGARANG,
SUDAH hampir seminggu tirai 2022 berlabuh dan mentari 2023 menyinari membawa pelbagai cita-cita dan azam yang menggunung tinggi bagi setiap insan untuk lebih cemerlang.
Sebahagian masyarakat memilih pada setiap awal tahun Masihi untuk menentukan azam kerana mudah untuk membuat perkiraan kejayaan dan kegagalan diri sendiri bagi tempoh setahun.
Hakikatnya, setiap insan tidak mampu mencapai semua hajat dan keinginan kerana fitrah semula jadi manusia yang lemah dan mudah terdedah kepada sesuatu tidak sempurna.
Terdapat beberapa langkah dan panduan disarankan oleh Islam apabila tiba tahun baharu. Pertama, melakukan proses penilaian diri atau muhasabah.
Islam menyarankan umatnya melakukan muhasabah kerana sifat manusia itu sendiri banyak kekurangan yang perlu kepada penambahbaikan.
Islam menyarankan manusia melakukan muhasabah berkaitan bekalan menuju akhirat dan berusaha memperbaiki diri serta mempertingkatkan amalan selagi diberi kesempatan oleh Allah SWT.
Setelah muhasabah, seseorang harus menerima kesalahan diri dan berusaha untuk tidak mengulangi lagi.
Kedua, menentukan azam dan matlamat dalam kehidupan seperti mendapat kerjaya baik dan menurunkan berat badan yang dijadikan sebagai dorongan untuk berusaha lebih kuat bagi mencapainya.
Begitu juga terdapat azam untuk memburu kejayaan di akhirat seperti penekanan dalam aspek ibadah dan akhlak seperti mendirikan solat, membaca al-Quran, melakukan sembahyang berjemaah di masjid dan meninggalkan perkara-perkara maksiat.
Setiap matlamat yang ingin dicapai perlu dimulakan dengan niat dan disusuli usaha. Usaha perlu dilakukan secara berperingkat agar ia mudah untuk dilaksanakan. Akhir sekali, bertawakal, berserah dan yakin dengan pertolongan Allah SWT. – UTUSAN
DR. AZRI BHARI, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor