SAUDARA PENGARANG,
LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri pada Disember lalu telah mengeluarkan satu memorandum bagi pelaksanaan bayaran tanpa tunai di semua tanah rancangannya bermula bulan ini. Semua bayaran hasil kepada vendor dan peneroka juga akan dibuat secara terus ke akaun bank.
Dalam laman web agensi itu dinyatakan, inisiatif ini merupakan sokongan dan cerminan Felda dalam menyokong usaha berterusan kerajaan bagi mempromosikan pembayaran tanpa tunai serta mencapai misinya untuk mentransformasi kaedah pembayaran sepenuhnya secara dalam talian.
Melalui pelaksanaan penuh bermula bulan ini, Felda komited dalam pemantapan tadbir urus serta mengelakkan sebarang ketirisan dalam pengurusan kewangan.
Langkah itu juga dikatakan seiring dengan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0). Turut disiarkan dalam laman web itu, komen-komen peneroka yang bersetuju dengan kaedah terbabit dengan memberikan pelbagai alasan positif termasuk tidak perlu lagi beratur di pejabat Felda untuk menerima bayaran.
Bagi saya, walaupun niat itu baik tetapi pelaksanaannya dibuat secara gopoh tanpa sesi penerangan kepada setiap penduduk.Pihak pengurusan Felda terutamanya jabatan kewangannya, gagal melihat dari segi realiti pelaksanaannya.
Pertama, tanah Felda yang telah terjual sama ada mendapat kelulusan atau tidak. Pembeli yang mengusahakan tanah ini tidak akan mendapat hasil kerana nama dalam baucar bayaran masih di bawah nama peneroka.
Kedua, suami isteri yang telah berpisah di mana suaminya tidak mengusahakan tanah Felda sebaliknya selama ini diusahakan oleh isteri. Nama dalam geran atau baucar bayaran masih tidak ditukar dan di bawah nama suami. Isteri yang setia mengusahakan tanah itu tidak akan mendapat hasil kerana nama dalam baucar bayaran masih di bawah nama peneroka.
Ketiga, bagi peneroka yang uzur (kebanyakan peneroka lahir sekitar tahun 1940-an dan 1950-an) yang kini berusia antara 70 hingga 90 tahun. Ramai tidak mempunyai akaun bank dan pihak Felda seolah-olah memaksa mereka yang terlantar di atas katil dan uzur untuk pergi ke bank bagi membuka akaun.
Keempat, terdapat belasan ribu kes pewarisan di Felda di mana peneroka mati dan waris mereka masih tidak sempat melaksanakan tuntutan di mahkamah. Apabila bayaran tanpa tunai dilaksanakan, bayaran akan terhenti kepada orang yang terkesan.
Bayangkan, apabila anda tidak dapat gaji sebulan dapatkah anda membayar segala macam kos perbelanjaan? Bil api, air, hutang kenderaan dan caj internet?
Sekarang bayangkan berapa banyak tunggakan yang tidak dapat dijelaskan jika bayaran dihentikan selama dua atau tiga bulan bahkan 10 bulan kerana urusan pewarisan masih tidak selesai.
Walaupun niat Felda melaksanakan bayaran tanpa tunai ini baik, ia harus dilaksanakan secara berhemah dan efisien. Wujudkan satu ruang di mana halangan-halangan tertentu diambil kira untuk kekal menggunakan wang tunai.
Mulakan terlebih dahulu kaedah bayaran secara terus ke akaun bank di tanah rancangan Felda yang kecil sahaja sebagai percubaan sebelum diperluas ke seluruh negara. Berikan tempoh penangguhan yang cukup untuk rakyat menyelesaikan segala urusan berkaitan sebelum dihentikan bayaran secara tunai. – UTUSAN
DR. JOHAN
Kuala Lumpur