Jangan mudah terpedaya janji labur emas

Jangan mudah terpedaya janji labur emas

TIADA jaminan pulangan wang dalam pelaburan emas berdasarkan syariat Islam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DALAM konteks Islam, pelaburan amat digalakkan supaya menjamin masa depan. Sudah tentu pelaburan yang diceburi mestilah mengikut syariat Islam.

Kelebihan pelaburan Islam adalah dalam bentuk perkongsian keuntungan, manakala konvensional berbentuk faedah. Dalam ajaran Islam, faedah adalah haram kerana ia tidak mengiktiraf nilai wang. Pada pandangan Islam, wang tidak akan berkembang dengan sendirinya tetapi melalui usaha yang produktif.

Antara pelaburan patuh syariah yang sering menjadi pilihan ialah emas. Hal ini kerana emas sangat sesuai dijadikan simpanan jangka masa panjang sekurangkurangnya tiga tahun dan ke atas. Selain itu, nilainya juga terjamin dan tidak terkesan dengan inflasi, ketidakstabilan ekonomi serta politik.

Bagaimanapun, kini wujud golongan yang mengambil kesempatan dengan menggunakan nama pelaburan patuh syariah bagi menarik minat orang ramai khususnya Muslim.

Golongan ini bijak mengatur strategi dengan mengaitkan sentimen emosi. Mereka akan bermain sentimen seperti seseorang yang menyimpan emas dengan bangsa lain dikategorikan sebagai pengkhianat. Sebagai seorang Muslim, kita mesti membantu ummah dengan membeli emas daripada rakan seagama.

Jika elemen sentimen tidak berfungsi, mereka akan mainkan elemen pulangan bulanan yakni beli emas dengan sesebuah syarikat lebih menguntungkan dan setiap bulan akan mendapat dividen lebih tinggi berbanding pelaburan di Amanah Saham Bumiputera (ASB), Tabung Haji dan lain-lain.

Perkara ini ialah penipuan terangterangan. Simpanan emas adalah simpanan emas. Tiada pulangan bulanan yang harus dijanjikan. Perjanjian yang menyediakan jaminan wang dikembalikan ialah perjanjian melanggar prinsip pematuhan syariah.

Golongan sering menjadi mangsa ialah mereka yang mudah terpedaya dengan elemen sentimen ditawarkan sebegini, mereka yang ingin cepat kaya serta yang terburu-buru dalam membuat sesuatu keputusan tanpa berfikir baik buruk perkara tersebut.

Penglibatan dalam skim penipuan pelaburan ini bukan sahaja berisiko kehilangan wang, malah akan dikenakan tindakan undang-undang kerana didakwa terlibat sama dalam pengambilan deposit haram dengan melabur dalam skim tersebut.

Oleh itu, sebelum melabur dalam mana-mana skim pelaburan, fikirlah dan kajilah sebaik-baiknya kerana bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. NURADLI RIDZWAN SHAH MOHD. DALI & IFFAH NABILAH ABDUL GHANI
Fakulti Ekonomi & Muamalat
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya