Ibu tunggal paling terkesan kos sara hidup terus naik - Utusan Malaysia

Ibu tunggal paling terkesan kos sara hidup terus naik

PROGRAM keusahawanan yang direka khusus bagi meringankan bebanan ibu tunggal perlu diwujudkan bagi membolehkan mereka keluar daripada kepompong kemiskinan sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DEWASA ini, kos sara hidup sering diperkatakan. Semenjak dari penularan pandemik Covid-19 pada awal 2020, kos sara hidup semakin meningkat. Antara ramai-ramai orang, ibu tunggal yang paling terkesan dengan peningkatan kos sara hidup terutamanya yang tinggal di ibu kota.

Ramai keliru dengan maksud ibu tunggal. Ada yang mengatakan janda atau balu dan ada yang mengatakan wanita yang berumah tangga dan mempunyai anak tetapi tidak mendapat bantuan kewangan daripada suami untuk menyara anak. Dan ada yang mengatakan wanita yang tidak berumah tangga tetapi memiliki anak juga termasuk dalam kategori ini.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada 2015 mendefinisikan wanita tunggal kepada tiga iaitu pertama, wanita yang menjadi ketua isi rumah dalam perkahwinan.

Kedua, balu atau bercerai dan ketiga, mempunyai anak yang belum berkahwin, wanita yang mempunyai suami tidak sihat dan tidak berkemampuan untuk bekerja dan wanita yang tidak pernah berkahwin tetapi mempunyai anak.

Daripada definisi ini, KPWKM mendapati seramai 235,240 ibu tunggal di Malaysia. Namun begitu, hanya seramai 83,773 ibu tunggal berdaftar dengan Jabatan Pembangunan Wanita dan pada 2021, ia meningkat kepada 161,277 orang.

Walaupun majoriti bekerja (84 peratus) tetapi 16 peratus menerima gaji kurang daripada RM969 sebulan. Ini menunjukkan bahawa segelintir ibu tunggal berkemahiran rendah.

Kehidupan ibu tunggal boleh dibantu dengan keusahawanan Islam. Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) melancarkan program keusahawanan bagi membantu asnaf termasuk ibu tunggal pada Oktober tahun lalu.

Menerusi program ini, ibu tunggal dilatih untuk berniaga bagi menyara kehidupan. Begitu juga dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut prihatin dengan golongan tidak bernasib baik ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggerakkan inisiatif menangani isu kos sara hidup melalui Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL). Ini adalah usaha komprehensif kerajaan bagi meringankan bebanan rakyat. Contoh terkini ialah pengumuman untuk tidak menaikkan tarif bil elektrik.

Justeru, program keusahawanan yang direka khusus bagi meringankan bebanan ibu tunggal perlu diwujudkan bagi membolehkan mereka keluar daripada kepompong kemiskinan tegar dan seterusnya dapat menyumbang kepada masyarakat. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. ILHAAMIE ABDUL GHANI AZMI
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya