SAUDARA PENGARANG,
DALAM memilih premis makanan, biasanya kita akan mempertimbangkan dua kriteria utama, iaitu halal dan bersih. Sebab itu, restoran makanan segera sering menjadi pilihan ramai.
Kebersihan dan kualiti menjadi keutamaan restoran tersebut. Tempatnya selesa dan kondusif. Ada sijil halal dan penarafan gred A untuk kebersihan. Murah dan sedap bergantung pada menu dan selera individu.
Dalam keadaan kenaikan harga bahan mentah, sebahagian kita boleh berkompromi jika tahap kekotoran sesebuah premis makanan tidak terlalu ketara, asalkan halal dan murah.
Kenaikan kos bahan mentah menyebabkan harga makanan pun meningkat tinggi. Nasi goreng kampung berharga antara RM7 hingga RM9 sepinggan sekarang ini. Sup ekor pula RM15 semangkuk untuk seorang makan.
Jika makanan itu dikekalkan harga, saiznya pula dikecilkan ataupun bahan-bahan dikurangkan. Namun, tahap toleransi dan kesabaran kita ada batasnya.
Sebuah video yang tular tempoh hari menunjukkan seekor tikus sedang menjamah ayam goreng di sebuah restoran menerima pelbagai reaksi. Bermacam-macam komen negatif diberikan termasuk cacian dan makian.
Yang menariknya, orang kita suka memaki hamun menggunakan perkataan dalam bahasa Inggeris. Walaupun penguasaan bahasa Inggeris kurang menyerlah tetapi sebutan makian sangat fasih.
Ditambah menggunakan loghat British, Amerika mahupun Jamaica agar nampak hebat sedikit.
Burger
Selain kriteria halal dan bersih atau halal dan murah, ramai juga mempertimbangkan rasa sedap untuk memilih premis makanan. Sedap itu pun subjektif juga.
Sedap bagi seseorang, tidak semestinya sama bagi orang lain. Kalau mahal atau murah sekalipun, belum tentu sedap.
Suatu ketika dahulu, saya sangat teruja bila melangkah masuk ke sebuah restoran makanan segera kerana gambar burger yang dipaparkan di dinding sungguh menggiurkan.
Namun, setelah membuka bungkusannya, sungguh memeranjatkan dan membingungkan. Ketika itu juga saya teringat dialog dalam filem Ali Setan, “Rupa-rupanya, Tipah tertipu bang! Tipah tertipu!”
Rupa sebenar tidak seindah gambarnya. Rupanya kelam sahaja, tidak berseri seperti di dalam gambar.
Dalam pada itu, gerai-gerai di tepi jalan dan di pasar malam menjadi pilihan golongan marhaen. Ia paling laku sepanjang tahun, tidak kira sama ada kerajaan bertukar atau Kadar Dasar Semalaman (OPR) naik beberapa kali setahun.
Sebenarnya sukar untuk kita menemui premis makanan yang memenuhi keempat-empat kriteria sekali gus iaitu halal, bersih, murah dan sedap.
Pastinya ramai mengutamakan premis yang menyediakan makanan halal dan bersih. Murah itu satu kelebihan dan sedap adalah bonus.
Yang halal mengukuh keimanan, yang bersih menjaga kesihatan, yang murah membantu penjimatan dan yang sedap memberi kenikmatan. Tepuk dada, tanya selera. – UTUSAN
MARISSA QT, Kuala Lumpur