SAUDARA PENGARANG,
KEAMANAN dan keharmonian masyarakat merupakan perkara sangat diutamakan dalam sesebuah negara bagi menjamin kestabilan dari segi politik, ekonomi dan sosial.
Bagi mewujudkan hubungan erat dan kehidupan aman dalam kalangan masyarakat majmuk, Malaysia mengamalkan konsep rahmatan lil alamin (rahmah). Konsep ini mempromosi nilai dan prinsip Islam bersifat universal terutama bagi menyebarluaskan dasar negara berkebajikan dan harmoni dalam pelbagai aspek kehidupan.
Konsep rahmah mencerminkan Islam sebagai agama yang menekankan kasih sayang kepada seluruh alam tanpa batas.
Konsep ini bukan hanya tertumpu pada kasih sayang tetapi juga sifat belas kasihan, toleransi dan ketegasan.
Elemen rahmah masih diamalkan dalam kalangan masyarakat ketika berdialog dan mencari persefahaman. Amalan berdialog dan persefahaman merupakan prasyarat untuk membina hubungan adil antara budaya dan peradaban kerana ia membolehkan kita memahami perbezaan dan persamaan.
Seterusnya, hubungan etnik melalui dialog seharian menjadi pemangkin kepada semangat perpaduan dan toleransi. Tambahan pula, mencari persamaan adalah kunci bagi menjayakan sesuatu dialog atau komunikasi.
Jika amalan ini ditanam dalam diri setiap individu, maka sikap berlapang dada dan kerjasama antara masyarakat dapat mengelakkan pertelingkahan serta salah faham. Dengan itu, persefahaman antara etnik dan fahaman agama berbeza akan membuka ruang dan peluang supaya proses rahmah diaplikasikan dalam kalangan masyarakat majmuk.
Oleh itu, kita dapat mengelak sikap berpuak-puak dan prejudis kesan daripada sikap keterbukaan melalui interaksi sosial masyarakat. Cara ini juga boleh menjadi gagasan bagi membentangkan salah faham dan tafsiran yang tidak betul mengenai Islam.-UTUSAN
PROFESOR DR. MOHD. ROSLAN MOHD. NOR & NURUL ATIQAH ILYANI MOHAMAD TAN
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya