Bukan rumah mampu milik tapi rumah mampu mimpi - Utusan Malaysia

Bukan rumah mampu milik tapi rumah mampu mimpi

KERAJAAN perlu berbincang dengan para pemilik rumah tentang kadar munasabah dan kekerapan kenaikan harga sewa. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEJAK kebelakangan ini, perkataan ‘naik’ sering menjadi sebutan ramai. Satu perkara berkaitan dengan naik yang kurang dibicarakan ialah kenaikan harga sewa rumah terutamanya di kawasan bandar.

Isu tentang harga sewa rumah yang mahal di bandar raya seperti Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya disiarkan dalam beberapa portal berita sebelum ini.

Jika dilihat iklan dalam laman sesawang berkaitan urusan sewa dan jual beli, terdapat peningkatan terhadap harga sewa rumah persendirian antara 10 hingga 20 peratus pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

Pemilik rumah sewa akan memberi alasan kenaikan bagi tujuan penyelenggaraan, bayaran ansuran pembelian rumah kepada bank, bayaran cukai pintu, caj pungutan sampah, kebersihan laluan dan sebagainya.

Ada juga pemilik rumah memberi kata dua kepada penyewa sekiranya tidak bersetuju dengan kadar harga baharu, ada penyewa lain sedang menunggu untuk menyewa.

Oleh kerana sukar untuk mendapatkan rumah sewa lain dalam masa singkat dan juga disebabkan kedudukan strategik kediaman itu dengan tempat kerja dan kemudahan-kemudahan lain, maka penyewa terpaksa juga bersetuju dengan kadar harga baharu.

Jika tidak, penyewa terpaksa keluar dari rumah sewa itu dan mungkin menjadi gelandangan. Bagi yang baru bekerja dan juga sudah lama bekerja dengan gaji kecil, mereka masih belum mampu untuk membeli sebuah rumah di bandar.

Sebuah flat bersaiz kecil pun berharga sekitar RM200,000 bergantung kepada kawasan. Berbeza dengan golongan berpendapatan tinggi (T20) yang berkeupayaan memiliki kediaman mewah di Kuala Lumpur dan sekitarnya. Malahan, ada yang mampu beli kondominium mewah di Dubai.

Ada juga yang menyewa rumah jauh dari bandar kerana harga sewanya murah. Jika tinggal jauh dari pejabat, berulang-alik dari rumah ke tempat kerja menaiki kenderaan sendiri mahupun pengangkutan awam, memang memakan masa.

Kena keluar awal pagi untuk ke pejabat sebelum ayam berkokok. Sampai di rumah dari pejabat pula pada waktu sang pungguk sedang bertenggek di dahan pokok merindui bulan. Banyak masa terpaksa dikorbankan. Tanpa sedar, umur kita banyak dihabiskan berada dalam kenderaan.

Saya harap kerajaan dapat berbincang dengan para pemilik rumah tentang kadar munasabah dan kekerapan kenaikan harga sewa rumah terutama di kawasan bandar.

Kami pun faham dengan keadaan semasa dan apa yang dihadapi oleh pemilik rumah. Kami harap kenaikan harga sewa rumah tidak terlalu mendadak, kerap dan tinggi.

Dalam pada itu, kerajaan harus meneroka pembinaan kediaman mampu sewa dan mampu milik untuk golongan bujang yang bekerja di bandar.

Bina kediaman berbentuk kiub khas untuk seorang sahaja dengan kelengkapan asas seperti meja, kerusi dan katil.

Dapur, tandas dan bilik mandi terletak di luar untuk kegunaan bersama, misalnya untuk setiap empat kiub sahaja.

Biasanya orang bujang akan makan di luar. Kediaman kiub hanyalah untuk tidur dan berehat.

Kenaikan harga sewa rumah akan menambah beban dan tekanan kepada kehidupan kami. Kami terpaksa menyewa rumah kerana belum berkemampuan untuk memiliki rumah sendiri.

Apa yang diuar-uarkan dalam iklan dan di pameran perumahan sebagai rumah mampu milik hanyalah rumah mampu mimpi. Yang mampu dimiliki hanyalah brosur rumah tersebut. – UTUSAN

MARISSA QT, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya