Ayuh bantu SPRM bendung rasuah

Ayuh bantu SPRM bendung rasuah

PELANCONG tidak akan memilih untuk mengunjungi Malaysia sebagai lokasi percutian atau pelaburan sekiranya pemimpin dan rakyat terus mengamalkan rasuah.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TIDAK dapat dinafikan perbuatan rasuah boleh menjatuhkan maruah seseorang atau sesuatu bangsa. Hal ini kerana individu terlibat dalam rasuah dan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdepan tindakan undang-undang berdasarkan Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Keadaan ini secara tidak langsung mengubah pandangan masyarakat terhadap diri dan keluarganya selain kerjaya akan terjejas.

Selain itu, rasuah secara langsung menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara. Pelaburan dari negara asing merupakan agenda penting untuk memacu ekonomi negara. Memetik kenyataan pakar kewangan dan saham, Dr. Wan Nazri Daud, ketidaktentuan politik merupakan salah satu punca menyebabkan pelabur tidak mahu mengambil risiko untuk melabur di sesebuah negara. Keadaan ini dapat dikaitkan dengan rasuah yang berlaku dalam kalangan ahli politik.

Di samping itu, kegiatan rasuah juga meningkatkan kes jenayah di sesebuah negara. Rasuah mengakibatkan manusia hilang pertimbangan dalam membuat keputusan kerana terpengaruh dengan hawa nafsu untuk menikmati kehidupan sebagai golongan kaya. Sekiranya rasuah menjadi kebiasaan, maka pelbagai jenayah seperti penyalahgunaan kuasa, pembunuhan dan sebagainya akan berlaku kerana terdapat pihak yang memberi dan menerima suapan untuk melakukan perbuatan berlawanan dengan prinsip dan undang-undang.

Malah, kegiatan terkutuk ini boleh menjejaskan nama baik negara di mata dunia. Sekiranya kegiatan rasuah berlaku di Malaysia, maka seluruh dunia akan mengetahuinya dan menyebabkan nama baik negara tercemar. Keadaan ini akan memberi tanggapan buruk kepada pihak luar bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang tidak selamat seterusnya menjejaskan pelbagai bidang khususnya pelaburan dan bidang  pelancongan selain kualiti infrastruktur.

Kesimpulannya, pihak berkuasa haruslah menguatkuasakan undang-undang dan sentiasa memantau kegiatan rasuah, tidak kira dalam kalangan ahli politik mahupun masyarakat. Ia bukan sahaja tanggungjawab SPRM, tetapi rakyat untuk mengelakkan diri dan orang sekeliling daripada terjerumus ke kancah kegiatan hitam ini.-UTUSAN

ONG QI FEI
Fakulti Bahasa & Komunikasi
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya