SAUDARA PENGARANG,
RAKYAT kini sudah menerima pembentukan kerajaan baharu di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Malah tempoh sebulan ini, banyak kemajuan dan perubahan dicapai antaranya berusaha mengatasi masalah kos sara hidup dan memulihkan ekonomi negara.
Malah, pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) juga dapat menyesuaikan diri dengan jajaran baharu politik negara termasuk penglibatan parti-parti politik Borneo.
Namun, sedikit terkilan malah dikesalkan apabila Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang didakwa dilihat seperti kemaruk dengan jawatan dan kuasa politik. Beliau tidak henti-henti menempelak kerajaan perpaduan. Bukan setakat itu sahaja malah beliau menyerang dan memburuk-burukkan kepimpinan Anwar.
Terbaharu Presiden Pas itu mengatakan bahawa jatuh hukum haram bagi sebuah kerajaan perpaduan yang dibentuk sekiranya tidak mengikut petunjuk Allah SWT.
“Adapun perpaduan tanpa petunjuk Allah SWT tersebut adalah diharamkan, disebabkan oleh kerapuhannya.
“Ikatannya yang membawa padah di dunia dan akhirat kerana pelaksanaannya tidak berprinsipkan akidah dan tidak mempunyai konsep amar ma‘ruf dan nahi munkar yang mengawal kehidupan manusia serta pergaulannya dalam bermasyarakat.
“Hal ini disebabkan tiada asas akidah untuk mengawal diri dan tidak berakhlak,” katanya pada hantaran di media sosial baru-baru ini.
Saya ingin bertanya kepada Abdul Hadi termasuk penyokong dan pengikut tegar Pas, adakah untuk membina sesebuah negara sama keadaannya seperti mahu mendirikan sebuah masjid atau madrasah tahfiz?
Apakah logik dan rasionalnya kenyataan itu ditujukan kepada kerajaan perpaduan? Dimanakah fakta atau hujah yang boleh menyokong dakwaan tersebut?
Diharapkan Abdul Hadi tidak lagi membuat sebarang kenyataan-kenyataan yang pada pengamatan saya selama ini tidak lebih hanyalah sekadar bersifat hipokrit atau cakap tak serupa bikin.
Bukankah ini retorik politik namanya? Perubahan apa yang dilakukan Pas semasa dalam kerajaan Persekutuan? Justeru, diharap Abdul Hadi lebih berhati-hati ketika mengeluarkan sebarang kenyataan kerana ada kenyataan beliau boleh mengundang permusuhan sesama orang Melayu bahkan memesongkan pemikiran rakyat dan memecah belahkan perpaduan dalam kalangan rakyat.-UTUSAN
WALI TOK SONGEI
Pulau Pinang