UPSI kesinambungan SITC - Utusan Malaysia

UPSI kesinambungan SITC

UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) adalah antara universiti utama di negara ini yang bertanggungjawab melahirkan guru berijazah selari dengan tuntutan semasa pendidikan. – IHSAN UPSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 29 November lalu, genap usia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 100 tahun.

Perjalanan institusi ini daripada Sultan Idris Training College (SITC) ke Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) ke Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) seterusnya UPSI melalui proses perubahan dan kesinambungan berterusan.

Ia juga berpegang pada asas kukuh iaitu melahirkan pendidik yang mampu memacu perjuangan dan pengisian kemerdekaan.

Pendek kata, kewujudan institusi ini bukan sahaja bertujuan melahirkan guru mengajar ilmu pengetahuan, sebaliknya pendidik mempunyai jati diri Malaysia serta mampu melahirkan generasi yang dapat memenuhi wadah pengisian kemerdekaan.

Penubuhan SITC boleh dianggap sebagai lakaran sejarah penting kepada masyarakat Melayu di Tanah Melayu kerana ia merupakan institusi pendidikan tinggi pertama di negara ini.

Sebagai institusi pendidikan tinggi terulung, sudah tentu ia menjadi tumpuan bukan sahaja dalam kalangan masyarakat tempatan tetapi juga orang Melayu dari negara-negara jiran seperti Singapura, Brunei, Indonesia dan selatan Thailand.

Selari dengan perkembangan nasionalisme yang menjadi trend kepada golongan terpelajar ketika itu, pelajar SITC juga tidak ketinggalan dalam menyertai gerakan tersebut.

Cuma bezanya, tokoh kelahiran SITC lebih cenderung bergiat aktif dalam perjuangan nasionalisme melalui dunia persuratan dan bukannya kekerasan.

Kelahiran penulisan demi penulisan oleh guru, pegawai dan pelajar berjaya meniupkan semangat nasionalisme dalam kalangan mereka. Ini menjadikan SITC antara institusi yang terkenal dalam melahirkan golongan pejuang kemerdekaan negara.

Kegemilangan SITC diteruskan setelah kemerdekaan negara. Cuma bezanya selepas kemerdekaan, acuan pendidikan negara berubah sedikit demi sedikit menjadi lebih kepada memenuhi keperluan sebuah negara merdeka.

Naik taraf

Sebaik sahaja kemerdekaan pada 1957, nama SITC ditukar kepada MPSI yang masih meneruskan peranannya melatih guru tetapi memfokuskan usaha melahirkan pendidik generasi yang mampu memenuhi tanggungjawab pengisian kemerdekaan.

Tuntutan semasa membawa MPSI mengorak langkah ke hadapan apabila pada 1987, institusi keramat ini dinaikkan taraf daripada sebuah maktab kepada institut dengan menggunakan nama IPSI.

Perubahan ini selari dengan keperluan semasa pendidikan negara yang memerlukan guru berkelulusan diploma berbanding sebelumnya, sijil perguruan.

Peningkatan taraf pendidikan menjadikan institusi ini terus relevan dan mampu memenuhi keperluan negara iaitu melahirkan generasi berkemahiran tinggi dan setaraf dengan negara-negara maju.

Sejarah tercipta pada 1997 apabila IPSI dinaik taraf kepada universiti menggunakan nama UPSI. Perubahan taraf daripada institut kepada universiti bukan sahaja meneruskan falsafah dan peranan asalnya dalam mendidik guru, sebaliknya diperluaskan lagi kepada matlamat melahirkan guru berijazah selari dengan tuntutan semasa pendidikan.

Perubahan daripada SITC ke UPSI bukanlah menghancurkan institusi asalnya (SITC) tetapi sebaliknya menjadikan institusi ini terus relevan dalam memacu perkembangan ke arah melahirkan generasi bertaraf dunia.

Oleh itu, tidak timbul dakwaan UPSI bukannya kesinambungan SITC. Ini kerana kewujudan UPSI adalah melalui proses perubahan dan kesinambungan SITC.

Ini berdasarkan falsafah dan matlamat penubuhan institusi ini yang masih kekal sejak SITC hinggalah ke UPSI.

Universiti ini juga menerima penarafan antarabangsa, Times Higher Education sebagai universiti ke-801 hingga 1,000 pada 2023.

Pencapaian ini setaraf universiti-universiti ternama seperti Universiti Al-Azhar, Mesir dan Universiti Salford, United Kingdom. – UTUSAN

MUHAMAD KAMAR ZAINUDDIN, Alumni Era MPSI 1974

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya