Tolak pembukaan lebih banyak kuari

Tolak pembukaan lebih banyak kuari

KEKALKAN hutan simpan supaya generasi akan datang dapat menikmatinya. – GAMBAR HIASAN/IHSAN MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TINDAKAN kerajaan Selangor yang sedang mempertimbangkan untuk membenarkan penerokaan Hutan Simpan Kekal Bukit Lagong (HSKBL) di Gombak untuk kerja-kerja kuari akan memusnahkan khazanah alam semula jadi di negeri itu yang menjadi benteng kepada pemanasan global.

Langkah mengekalkan hutan terbabit daripada penerokaan akan mengelak berlakunya tanah runtuh seperti tragedi yang meragut banyak nyawa di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm (FOF) dekat jalan menghubungkan Batang Kali dengan Genting Highlands, baru-baru ini.

Ia juga dapat memastikan HSKBL dapat dinikmati penduduk sebagai hutan lipur yang merujuk kepada hutan simpan yang dibuka untuk kegunaan orang ramai sebagai tempat riadah.

Dilaporkan terdapat lapan syarikat yang diberikan lesen oleh kerajaan negeri bakal terlibat dalam perluasan kawasan kuari yang memang sedia ada terdapat di situ.

Dikatakan tiada laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) diterima Jabatan Perhutanan Negeri Selangor terhadap cadangan pembukaan kuari baharu di kawasan HSKBL itu.

Selepas kontroversi penyahwartaan Hutan Simpan Kekal Bukit Cherakah (HSKBC) di Shah Alam dan tragedi tanah runtuh di Batang Kali, di mana operasi mencari dan menyelamat masih berterusan, tindakan kerajaan Selangor ini adalah tidak wajar.

Saya khuatir bahawa perluasan aktiviti pemusnahan hutan untuk meraih keuntungan ini akan menjejaskan kawasan-kawasan sensitif alam sekitar. Saya juga masih ingat akan kemusnahan yang wujud akibat operasi kuari di Batu Caves pada satu ketika dahulu yang sehingga kini masih tidak dibaik pulih.

Kerajaan Selangor harus bertindak dengan segera untuk mengekalkan hutan simpan serta kawasan sensitif alam sekitar lain supaya generasi akan datang dapat menikmatinya.-UTUSAN

ARVEENT S. KATHIRCHELVAN
Gombak, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya