SAUDARA PENGARANG,
PEMASANGAN lampu jalan membawa banyak kebaikan terutama di kawasan persekitaran sekolah. Ini kerana ia boleh meningkatkan tahap keselamatan jalan raya serta menurunkan kadar jenayah.
Keadaan kawasan luar sekolah yang gelap dan suram boleh membawa bahaya kepada pelajar. Mungkin boleh berlaku kemalangan jalan raya atau kes culik.
Jadi, saya memohon jasa baik Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) untuk menambah lampu jalan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Telemong sehingga simpang masuk ke kuarters guru.
Selain itu, sekurang-kurangnya tiga lagi lampu perlu dipasang di tepi pagar sekolah dengan salah satu daripadanya diletakkan pondok pengawal sekolah dan bangunan pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Keperluan pemasangan lampu jalan amat penting memandangkan pihak sekolah sentiasa mengadakan pelbagai program pada waktu malam seperti solat hajat.
Dengan adanya lampu jalan, ia meningkatkan keselamatan pelajar menduduki peperiksaan penting yang perlu menghadiri kelas tambahan pada waktu malam.
Kami melihat wujudnya keperluan mendesak tentang perkara ini ekoran kawasan tersebut sering ‘dikunjungi’ kerbau dan lembu yang berkeliaran pada waktu malam. Malah, pernah berlaku beberapa kali kemalangan jalan raya di situ.
Untuk makluman, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) telah menghantar tiga surat permohonan berhubung perkara sama iaitu pada Februari 2019 dan sekitar 2000.
Namun, tiada tindakan secara menyeluruh dan perkara ini amat menyedihkan. Kalau adapun dibuat dengan tidak sempurna.
Justeru, kami berharap MDHT dapat mengambil tindakan secepat bagi kebaikan dan keselesaan semua pihak. Diharap tiada diskriminasi dalam perkhidmatan baik dari pihak majlis mahupun pihak-pihak lain terhadap keperluan masyarakat. – UTUSAN
AZLAN
Kuala Telemong, Hulu Terengganu