Sokong surat terbuka Johan Jaaffar - Utusan Malaysia

Sokong surat terbuka Johan Jaaffar

APAKAH seni dan budaya tidak penting dalam pembangunan masyarakat dan negara? – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA menyokong penuh surat terbuka sahabat saya yang juga Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar dalam sebuah akhbar, baru-baru ini yang menyatakan rasa kesal dengan ketiadaan kementerian berkaitan kebudayaan dan kesenian dalam barisan Kabinet baharu kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun, setelah mendapat bantahan rakyat, Kementerian Pelancongan dikekalkan seperti nama asal sebelum ini iaitu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Untuk mengelak perkara ini berulang, mana-mana pihak yang akan membentuk kerajaan baharu di Malaysia perlu sedar bahawa seni dan budaya penting dalam pembangunan masyarakat dan negara.

Janganlah mengejar kemajuan kebendaan semata-mata. Kemajuan sedemikian perlu diseiringkan dengan kemajuan budaya, seni, warisan dan pastinya kerohanian.

Jika tiada kementerian khusus, ke mana penggiat seni dan budaya hendak mengadu? Jika dahulu pun, seni dan budaya kelihatan seperti penumpang kepada Kementerian Kebudayaan yang gah kerana menyumbangkan lebih RM50 bilion kepada negara.

Malah, jika ditinjau sekarang, seni warisan seperti wayang kulit, menora, kuda kepang, wayang geduk dan makyung seakan-akan nyawa-nyawa ikan ditelan pemodenan dan globalisasi.

Nafas seni warisan kian lesu dihimpit gelombang multimedia dan teknologi digital. Seperti kata Johan, di Indonesia, budaya warisan masih kekal dalam kementerian pemerintah, malah didukung kemas oleh badan-badan pemerintah dan masyarakat.

Di Bali, aspek seni warisan diangkat tinggi dan menjadi daya tarikan kepada pelancong. Maka, terima kasih kerajaan kerana telah melihat semula isu ini.

Dengarlah suara hati rakyat yang masih cinta akan budaya dan seni warisan yang masih perlukan pembelaan daripada pihak berkuasa.

Saya menyeru pejuang dan badan seni, budaya dan warisan untuk sentiasa bersama-sama bersuara untuk mengembalikan roh dan semangat memartabatkan warisan bangsa. – UTUSAN

MUSTAFFA SIRAJ, Batu Pahat, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya