Sebarkan salam dan hentikan ucapan kebencian - Utusan Malaysia

Sebarkan salam dan hentikan ucapan kebencian

JANGAN biarkan ucapan kebencian ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu memecahbelahkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

UCAPAN kebencian tular di pelbagai pelantar media sosial sebelum kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lagi. Ucapan kebencian wujud dalam pelbagai bentuk sama ada tulisan, video pendek atau visual.

Ia mengandungi unsur-unsur yang provokatif yang memburukkan sesetengah etnik, mengungkit sejarah Malaysia, melabel serta menghina atau memanggil dengan panggilan hodoh yang kadangkala disertai carutan.

Ucapan kebencian mampu menghilangkan tolak ansur sesama anggota masyarakat, membibitkan permusuhan serta mencetuskan kemarahan. Kemarahan pula boleh membawa kepada keganasan. Dalam rantaian proses yang melibatkan luapan emosi tersebut, kebencian terhadap golongan sasaran dirasakan munasabah.

Menurut laman web Pusat Dialog Antara Agama dan Budaya Raja Abdullah Abdulaziz (KAICIID), terdapat beberapa faktor yang berpotensi merubah kata kebencian kepada pelakuan ganas.

Ini termasuk suasana yang kondusif untuk melakukan keganasan, seorang jurucakap yang berpengaruh, ucapan atau perbuatan yang disebar luas, pendengar atau penonton yang percaya mesej kebencian tersebut dan sasaran yang kebiasaannya adalah golongan yang terpencil dalam masyarakat.

Apa yang berlaku pada ambang PRU15 sangat membimbangkan. Bukan sahaja ada pihak yang mengucapkan kata kebencian dan hasutan, malah terdapat video tular yang mengandungi unsur ancaman terhadap pihak lain untuk mengulangi peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Yang lebih dikesali, ucapan tersebut keluar daripada bibir individu yang dianggap pemimpin.

Senjata

Tidak lama selepas tularnya video tersebut, tular pula imej alat-alat senjata yang menyahut seruan dan semangat tersebut dalam kalangan muda-mudi. Persoalannya, adakah berbaloi untuk kita memperjudikan keamanan sosial yang kita kecapi?

Mana-mana agama di dunia ini sangat terhubung kait dengan kedamaian dan keamanan, apatah lagi Islam yang menjadi agama rasmi di negara kita. Islam yang bersumberkan al-Quran dan sunnah sering mengulang-ulang mesej kedamaian, kasih sayang dan kesatuan.

Ironinya, banyak kempen PRU15 yang sarat kebencian dan hasutan dihasilkan oleh Muslim serta turut disebarkan oleh bukan sebarangan Muslim malah guru-guru agama atas dasar mempertahankan Islam.

Keadaan ini bukan sahaja tidak menyumbang pada pembelaan Islam seperti yang dimahukan, bahkan imej Muslim yang membawa ajaran terbaik itu turut menjadi lekeh kerana terpalit dengan perbuatan tersebut.

Agamawan sebagai golongan berilmu sewajarnya meredakan api kemarahan dan kebencian masyarakat terhadap satu sama lain, jauh sekali untuk mereka terlibat menularkan mesej-mesej kebencian yang tidak berasas.

Mulai saat ini, marilah kita sebarkan salam, tularkan ucapan kasih sayang dan perpaduan supaya mesej ini mendominasi media sosial lalu mengatasi segala ucapan kebencian, hasutan dan permusuhan. – UTUSAN

DR. ALWANI GHAZALI
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya