SAUDARA PENGARANG,
MENJADI kebiasaan apabila seseorang cenderung bertindak mengikut naluri atau perasaan terhadap sesuatu peristiwa.
Namun, naluri dan perasaan disertai dengan hemat fikiran bijaksana, lazimnya akan membuahkan hasil yang bagus dari sudut perbuatan atau tindakan.
Perasaan kecewa adalah tindak balas normal apabila menerima sesuatu berita yang tidak mengikut keinginannya atau mendapat sesuatu tidak mengikut kehendaknya.
Mengambil iktibar daripada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini, bukanlah jenaka jika ada yang berasa kecewa dengan keputusannya. Walhal situasi itu harus dihormati bagi mereka yang disinggung dengan perasaan kecewa. Namun begitu, berapa lama harus melayan perasaan kecewa tersebut?
Ini kerana hasil daripada kekecewaan boleh menimbulkan rasa keliru terhadap natijah yang berlaku. Tidak salah untuk meletakkan takdir sebagai paksi kekuatan diri, namun perlu ditangani dengan akal yang bijaksana.
Oleh itu, kita perlu bijak mengalihkan perasaan tidak puas bukan sahaja terhadap keputusan PRU15 tetapi merangkumi pelantikan perdana menteri, menteri dan timbalan menteri atau kerajaan perpaduan yang telah tertubuh berikutan keputusan muktamad tiada parti mendapat majoriti dan apa jua kesinambungannya selepas itu.
Sebagai suatu bentuk muhasabah diri terhadap apa yang telah berlaku, mungkin dapat ditanamkan semula dalam fikiran bahawa Rukun Negara yang kita pegang selama ini sebagai suatu bentuk kalihan mudah tetapi padat yang boleh memujuk dan memupuk diri untuk terus melangkah ke hadapan dengan lebih maju.
Bait-bait keramat yang dihafal oleh setiap daripada kita -Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan kepada raja dan negara; Keluhuran perlembagaan; Kedaulatan undang-undang; Kesopanan dan kesusilaan pastinya mampu memandu kita ke arah haluan yang diredai.
Mudah-mudahan pandang ke hadapan mengiringi pemikiran kita selaku apa jua peranan kita dalam negara tercinta ini.-UTUSAN
DR. MADIHA BAHARUDDIN
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya