SAUDARA PENGARANG,
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang merupakan badan bebas ditubuhkan pada 2009 telus melaksana tugas mendidik masyarakat terhadap bahaya rasuah serta membenteras dan menghadap pelaku rasuah kemuka pengadilan berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa.
SPRM menyiasat tanpa mengira jawatan kecil atau besar. Tiada seorang pun boleh memberi ancaman atau ugutan kepada suruhanjaya bebas itu.
Antara beberapa kaedah pemerkasaaan yang disarankan untuk mencegah rasuah adalah dengan mengamalkan polisi tanpa menerima hadiah di kementerian, jabatan serta agensi kerajaan.
Penjawat awam perlu melaporkan kepada ketua jabatan jika menerima hadiah dan ketua jabatan boleh mengambil langkah pemula mengemuka tindakan tatatertib.
Selanjutnya mengurangkan karenah birokrasi bagi mengelakan proses kelewatan kerja dan pemberian wang pelincir bagi mempercepatkan proses kelulusan dan sebagainya.
Justeru penjawat awam yang tidak cekap dan kurang berusaha boleh diambil tindakan oleh majikan kerana sikap demikian menjurus kepada kelembapan penyampaian perkhidmatan organisasi.
Berikutnya kerajaan boleh melaksanakan perolehan dan mempelawa sebut harga secara atas talian.
Marilah kita bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkasakan langkah-langkah pencegahan rasuah di negara ini agar segala ketirisan dan kerosakan serta imej negara dapat diperbaiki sekali gus menurunkan indeks persepsi jenayah rasuah di negara ke paras sifar.
Bersama- sama kita lakukan islah, keadilan segenap upaya dan kekuatan merentasi semua golongan dalam menolak amalan rasuah.
Para vendor, syarikat dan individu serta orang perseorangan perlu bekerja sama menolak amalan buruk dan jijik ini agar negara kita bebas rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Hal ini membolehkan ekonomi dapat dipacu dengan jaya serta beban rakyat dapat diatasi segera.-UTUSAN
YOSRI ABU MAHSIN
Putrajaya