Pahang berpotensi jadi negeri lebih maju - Utusan Malaysia

Pahang berpotensi jadi negeri lebih maju

PROJEK Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) boleh menjadi pemangkin pembangunan daerah Maran dan Temerloh di Pahang. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TAHNIAH kepada Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang sekali lagi dilantik menjadi Menteri Besar selepas Barisan Nasional (BN) bergabung bersama Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan negeri selepas tiada parti memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Di Pahang, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu menyaksikan BN menang 16 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh 17 kerusi dan PH mendapat lapan kerusi.

Harapan tinggi diberikan kepada kerajaan baharu ini untuk mentadbir negeri supaya menjadi lebih maju, kemajuannya lebih pesat dari tahun sebelumnya dan lebih menjaga kebajikan rakyat khususnya penduduk luar bandar.

Sehubungan itu, disarankan kerajaan baharu ini dapat menarik banyak pelabur, menyediakan lebih peluang pekerjaan, rumah mampu milik dan dapat melaksanakan segala janji yang dibuat sebelum pilihan raya.

Janganlah janji itu ditangguhkan atau dikaji sahaja kerana rakyat juga yang terseksa disebabkan entah bila hendak menjadi realiti.

Melalui ruangan ini, sebagai penduduk Temerloh, saya ingin berkongsi dengan pemimpin di Pahang mengenai tahap pembangunan di daerah ini yang kalau dilihat mempunyai lokasi strategik.

Ia terletak di titik tengah Semenanjung dan dihubungkan oleh Lebuh Raya Pantai Timur yang boleh menjadi hab koridor wilayah bahagian timur.

Setelah siap Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), maka Pahang terutama daerah Maran dan Temerloh akan mendapat manfaat perhubungan laluan kereta api tersebut.

Di bawah kerajaan campuran ini, diharap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang baharu memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lanchang agar menyegerakan pembinaan loji air baharu untuk mengatasi masalah bekalan terputus yang kerap berlaku di kawasan itu.

Gagal

Ini kerana ADUN lama yang beberapa kali memenangi kerusi tersebut gagal untuk mengatasi masalah air.

Begitu juga pembangunan Bandar Baharu Lanchang yang dirancang bersebelahan dengan Balai Polis Lanchang sudah ditumbuhi semak dan tidak nampak projek rumah kedai terbabit akan menjadi kenyataan.

Selain itu, pembangunan di Temerloh seperti kerja menaik taraf di sekitar kawasan pekan sehari di bandar itu kelihatan terbiar sedangkan jangkaan siap adalah pada tahun ini.

Projek terbengkalai ini sudah tentu menyakitkan mata memandang terutama pengunjung yang hadir ke pekan sehari berkenaan dan sudah tentu memberi imej tidak baik kepada bandar Temerloh yang dikenali bandar ikan patin dan titik tengah Semenanjung.

Selain itu, diharapkan Temerloh mendapat pusat pengajian tinggi kerana daerah-daerah lain seperti Bera dan Raub sudah mempunyai cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Sehubungan itu juga, saya berharap kerajaan negeri Pahang dapat menarik pelabur ke Temerloh dalam industri perkilangan supaya penduduk sekitar dapat bekerja dan mengurangkan pengangguran.

Kita tidak mahu gelaran titik tengah ini hanya pada nama dan tiada usaha dibuat untuk menjadikan daerah Temerloh sebagai pusat pemangkin ekonomi terutama setelah siapnya jajaran ECRL kelak. – UTUSAN

PENDUDUK LANCHANG, Temerloh, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya