Menteri perlu ‘menyamar’ periksa kualiti jalan raya - Utusan Malaysia

Menteri perlu ‘menyamar’ periksa kualiti jalan raya

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke (dua dari kiri) menyamar bagi meninjau sendiri keadaan sebenar perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya pada 5 Disember lalu. – FACEBOOK ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DENGAN pelantikan menteri dan timbalan menteri baru-baru ini, maka lengkap sudah barisan Kabinet yang baharu.

Bahkan, sebelum pelantikan barisan timbalan menteri, sudah ada beberapa orang menteri yang melakukan pengintipan untuk mendapatkan maklumat berkaitan kementerian masing-masing dengan turun padang secara bersendirian.

Yang menyamar ala Jason Bourne (watak dalam filem Hollywood) memang sukar dikesan tetapi yang menyamar ala Mat Bond, kelibatnya sudah dapat dihidu dari jauh.

Apa pun, syabas diucapkan kepada para menteri yang telah mengambil inisiatif awal ini demi untuk merangka, merancang dan mengatur strategi kementerian masing-masing.

Dalam pada itu, saya tidak pasti sama ada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah melakukan pengintipan untuk mendapatkan maklumat berkaitan kementeriannya kerana tiada laporan disiarkan di media massa.

Jika belum, saya ingin mengesyorkan Menteri Kerja Raya dan timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad agar melakukan penyamaran dan turun ke jalan-jalan raya negeri, Persekutuan, juga lebuh raya dari semasa ke semasa.

Penyamaran yang saya maksudkan adalah dengan memandu sendiri kenderaan di atas jalan-jalan tersebut tanpa diiringi sesiapa pun.

Jangan pandu kereta mewah atau kenderaan pacuan empat roda (4×4). Pandulah kereta Proton Saga model pertama dan juga motosikal kapcai untuk merasai kenikmatan dan keselesaan permukaan jalan raya di negara ini.

Agak sukar untuk kita menemui jalan raya di Malaysia yang betul-betul sempurna pembinaannya dari segi kesamarataan, kecerunan, selekoh dan lain-lain lagi.

Kuali

Sukar untuk menemui jalan raya yang benar-benar berkualiti. Sebaliknya, keadaan adalah seperti kuali telungkup (membonjol) dan kuali telentang (berlopak) yang kerap kita jumpa.

Pembinaan jalan raya kebiasaannya berpandukan kaedah yang dipelopori oleh bapa jalan raya moden dari United Kingdom, John Loudon McAdam.

Namun, masih terdapat pembinaan jalan raya di negara ini yang tidak memuaskan dan kurang berkualiti di mana terdapat lopak dan bonjol, tidak sama rata, kecerunan tidak seragam dan selekoh agak tajam.

Bagi saya, konsep pembinaan jalan raya di Malaysia bukan mengikut McAdam tetapi lebih kepada jalan ‘mak andam’, di mana lebih mementingkan kosmetik, aksesori dan hiasan sahaja.

Bila dicurah air, hilang mekapnya dan terserlah lopak, bonjol, lekuk dan sebagainya. Diharap menteri dan timbalannya tidak hanya melakukan pengintipan pada waktu siang.

Pandu juga pada waktu malam untuk melihat suasana macam hari raya di mana lampu jalan berkelip-kelip.

Ada juga lampu jalan yang malap dan ada yang langsung tidak menyala. Kalau ‘bernasib baik’, kita akan terjumpa sepanjang jalan raya tersebut semua lampunya tidak menyala langsung, padahal ia di kawasan bandar.

Apabila berlaku kemalangan jalan raya, kesalahan akan ditujukan terus kepada manusia, yakni pemandu. Pemandu dikehendaki menjalani ujian alkohol dan dadah.

Jika gagal ujian tersebut, secara automatik pemandu kenderaan akan didapati bersalah. Amat jarang pihak berkuasa mempertimbangkan faktor jalan raya sebagai penyebab sesuatu kemalangan itu berlaku.

Sepatutnya semua aspek harus dipertimbangkan agar pemandu yang disabitkan kesalahan tidak teraniaya. – UTUSAN

MARISSA QT, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya