SAUDARA PENGARANG,
SAYA tertarik dengan laporan media massa baru-baru ini yang menyatakan Malaysia menjadi negara keempat paling mesra pelancong di peringkat antarabangsa.
Ia mengikut senarai terbaharu yang dikeluarkan oleh Indeks Pasport Arton Capitol berpangkalan di Kanada melibatkan tinjauan di 199 negara.
Dengan laporan yang disiarkan itu, setiap kita harus berasa bangga kerana negara ini semakin menjadi pilihan ramai pelancong dari seluruh dunia untuk berkunjung dan berbelanja.
Ini jelas membuktikan bagi menarik ramai pelancong luar datang ke negara ini, tidak semestinya mempunyai banyak tempat menarik untuk dikunjungi tetapi lebih penting ialah menyediakan segala kemudahan untuk mereka.
Di samping itu, sifat ramah mesra, budi bahasa dan bersopan santun kepada pelancong-pelancong luar juga perlu dimiliki oleh setiap rakyat.
Kita harus ingat, para pelancong luar yang datang ke negara ini bukan hendak melihat bangunan-bangunan tinggi, bandar-bandar besar dengan pelbagai jualan barangan atau kenderaan yang riuh-rendah di kota kerana mungkin negara mereka lebih hebat lagi.
Tetapi apa yang mereka mahu ialah layanan mesra daripada penduduk negara ini baik dalam kalangan rakyat biasa lebih-lebih lagi mereka yang bertugas di pintu-pintu masuk antarabangsa.
Begitu juga peniaga makanan, pemandu teksi, pekerja hotel atau penyambut tetamu di sesuatu tempat yang menjadi destinasi pelancong perlu memiliki sikap mesra.
Di samping itu, rakyat juga hendaklah sentiasa berpakaian sopan dan menjaga kebersihan sama ada kebersihan diri atau kawasan-kawasan persekitaran.
Jika segala keperluan ini dapat disempurnakan dengan baik oleh seluruh rakyat, Malaysia boleh melonjak pada ke tempat pertama paling mesra pelancong. Insya-Allah. – UTUSAN
RAMLI ISMAIL, Kangar, Perlis