SAUDARA PENGARANG,
SUDAH lebih sebulan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) melabuhkan tabirnya. PRU15 yang dilabelkan sebagai ‘ibu segala PRU’ ini telah meninggalkan sejarah dan kejutan tersendiri.
Selain segala drama yang berlaku, PRU15 juga mencatatkan antara jumlah tertinggi calon yang bertanding iaitu 945 calon di 222 kawasan Parlimen. Jumlah ini jauh tinggi berbanding 687 calon pada PRU14.
Jumlah calon yang ramai ini juga telah menyebabkan berlaku penggunaan bahan kempen pilihan raya yang berskala besar. Lautan bahan kempen pelbagai pihak termasuk bendera, gegantung, kain rentang, poster dan papan iklan telah mewarnai seluruh pelosok negara.
Persoalan yang timbul dan masih diperkatakan setiap kali berlangsungnya mana-mana pilihan raya sama ada PRU atau pilihan raya negeri (PRN) adalah bagaimanakah bahan-bahan sisa kempen ini diuruskan selepas berakhirnya hari membuang undi?
Walaupun ada peraturan termaktub khususnya yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mewajibkan semua pihak yang bertanding untuk menurunkan dan mengalihkan semua bahan kempen dalam masa seminggu selepas hari mengundi, namun sudah lazim kita lihat ia dibiarkan begitu sahaja, tanpa terurus, umpama habis madu sepah dibuang.
Berdasarkan tinjauan lapangan dilakukan di seluruh negara, masih terdapat beberapa lokasi yang bahan kempen belum diturunkan atau dibersihkan.
Benar wang deposit yang dicagarkan ke PBT ketika memohon kelulusan boleh digunakan sebagai kos pembersihan dan pengalihan, tetapi pihak yang bertanding tidak boleh bersikap lepas tangan sahaja.
Bendera-bendera yang terang menyala warna pada asalnya bertukar lusuh dan koyak setelah beberapa ketika. Tiada lagi jentera yang sanggup menurunkannya khususnya yang telah diletakkan di tempat yang sangat tinggi.
Kain rentang dan gegantung dibiarkan sehingga terkulai bahkan boleh membahayakan kenderaan yang melalui kawasan terbabit. Bahan kempen seperti poster yang diperbuat dari kanvas yang dicampak merata juga berpotensi menjadi tempat takungan dan pembiakan nyamuk.
Ini belum lagi termasuk bahan cetak seperti risalah-risalah yang diedarkan ketika ceramah-ceramah yang diadakan ketika tempoh berkempen yang telah menjadi sampah apabila dibiarkan merata-rata.
Kayu-kayu yang dijadikan tiang gantungan bendera dan kain rentang boleh menyebabkan kemalangan andai terjatuh di atas jalan dan lebih teruk sekiranya tercucuk anggota badan mereka yang terlibat dengan kemalangan.
Sememangnya, sekiranya diuruskan secara berhemah dan strategik, ada antara bahan kempen ini masih boleh digunakan semula. Sebagai contoh, kain rentang dan bendera parti dan gabungan parti politik boleh digunakan semula terutamanya ketika PRN tidak lama lagi.
Peralatan ini juga boleh digunakan di kala parti dan gabungan parti politik mengadakan perhimpunan tahunan mereka kelak tanpa perlu membazirkan wang dan tenaga untuk menghasilkan bahan baharu.
Dalam pada itu, bagi menangani bahan kempen yang tidak boleh diguna pakai semula, seperti poster dan risalah calon, semua parti perlulah beralih kepada papan iklan digital, poster digital dan platform media sosial.
Langkah ini sudah pasti mengurangkan sisa sampah berbanding kaedah sedia ada yang melibatkan pencetakan secara fizikal.-UTUSAN
DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR dan MOHD. FAIZOL RIZAL MOHD. RASID
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Kampus Puncak Alam, Selangor