SAUDARA PENGARANG,
SAYA ucapkan syabas kepada Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang telah dilantik sebagai Menteri Kerja Raya dan Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad sebagai timbalannya.
Sebenarnya banyak isu melibatkan jalan raya yang perlu diberi perhatian. Misalnya, saya pernah terlanggar satu objek tajam yang berada di tengah-tengah jalan raya yang menyebabkan tayar hadapan kereta saya pecah.
Nasib baik kereta saya tidak dilanggar kenderaan dari belakang. Jika berlaku kemalangan, adakah saya akan dipersalahkan kerana dianggap memandu secara cuai? Tugas siapakah untuk membuang objek berbahaya di atas jalan raya?
Satu perkara lagi yang Kementerian Kerja Raya perlu beri perhatian khusus ialah fenomena korek dan kambus. Dari semasa ke semasa penggantian paip lama dan pembaikan jalan terpaksa dilakukan.
Perihal kerja mengorek ini memang semua orang handal tetapi bila kambus, cara kerjanya seakan cincai sahaja, di mana keadaan jalan raya menjadi tidak sama rata walaupun diturap selepas itu.
Saya cadangkan juga agar menteri dan timbalannya memandu kereta dan menunggang motosikal di jalan-jalan yang baru selesai dikambus itu dan merasai dengan sendirinya alunan ombak daratan yang pengguna jalan raya telah merasainya sekian lama.
Setelah siap kerja-kerja pembinaan dan pembaikan sesuatu jalan raya, ia akan dinilai oleh pihak tertentu berkaitan kualiti dan keselamatan sebelum dibuka untuk pengguna jalan raya.
Saya ingin mencadangkan agar pengguna juga harus diberi peluang untuk menilai kualiti dan keselamatan jalan raya tersebut dengan cara memandu dan menunggang di atasnya sebagai percubaan.
Jangan buat bayaran penuh kepada syarikat kontraktor pembinaan dan pembaikan selagi belum mendapat maklum balas positif daripada pengguna.
Sekurang-kurangnya 67 peratus ataupun dua pertiga daripada keseluruhan pengguna jalan raya tersebut berpuas hati akan kualiti dan keselamatannya, maka barulah dibuat bayaran.
Kami rakyat Malaysia membayar cukai jalan setiap tahun untuk menggunakan kenderaan di atas jalan raya yang selesa, berkualiti dan selamat.
Sekiranya jalan raya yang kami gunakan setiap hari untuk berulang-alik ke tempat kerja dan menghantar serta mengambil anak di sekolah tidak menepati penarafan tertentu, rosak, berlubang dan merosakkan kenderaan, adakah kami masih perlu membayar cukai jalan ataupun nilai cukai jalan kami dapat dikurangkan?
Suatu ketika dahulu saya berasa amat teruja kerana seorang menteri telah menjanjikan bahawa Malaysia akan menghasilkan kereta terbang. Saya dapat bayangkan bahawa kita tidak perlu lagi risau akan keadaan jalan raya yang rosak dan berlubang kerana kita selalu akan berada di awang-awangan.
Malangnya harapan dan keterujaan saya meleset. Tidak ada kereta terbang sebenarnya, malah tidak ada prototaip kereta terbang pun. Yang ada hanya model kereta terbang sekadar boleh memuatkan seekor anak kucing sahaja.
Dalam pada itu, agak mustahil bagi menteri, timbalan menteri dan keseluruhan warga Kementerian Kerja Raya untuk mengintip dan memeriksa keseluruhan rangkaian jalan raya di Malaysia.
Oleh itu, jika ada sebarang aduan daripada rakyat, sila ambil tindakan dengan kadar segera.-UTUSAN
MARISSA QT
Kuala Lumpur