SAUDARA PENGARANG,
“KITA menganggap diri bertamadun tetapi hakikatnya kita masih primitif sejak menerima pembunuhan manusia sebagai cara menyelesaikan pertelingkahan antara negara atau dalam negara” kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada persidangan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) kali ke 74 di New York pada 28 September 2019.
Sehingga kini, masih lagi terdapat peperangan antara negara sehingga mengakibatkan kesan di seluruh dunia. Contoh peperangan antara Ukraine dengan Rusia yang menyebabkan banyak kemusnahan dan kehilangan banyak nyawa serta tempat tinggal.
Malaysia turut mendapat kesan negatif apabila menghadapi ancaman bekalan makanan dan pertumbuhan ekonomi menjadi perlahan. Begitu juga peperangan antara Palestin dengan Israel masih lagi tidak dapat diselesaikan sehingga sekarang.
Dr. Mahathir dalam persidangan itu sangat menekankan tentang kedamaian dan menggesa semua pihak untuk tidak membantu mana -mana negara yang ingin mencetuskan peperangan seperti pembentukan Israel menyebabkan tanah orang Palestin dirampas. Oleh sebab itu, keamanan dunia sukar dicapai dengan adanya kuasa veto negara besar yang mempunyai kelebihan dalam ekonomi, ketenteraan, kemajuan dan sebagainya. Mereka merasakan hanya mereka sahaja yang layak dalam membuat apa-apa keputusan.
Malah, Dr. Mahathir juga berkata, kesan daripada pembentukan Israel tercetus banyak peperangan. Pembentukan Israel juga telah menyebabkan permusuhan terhadap agama dan orang Islam. Orang islam dituduh sebagai pengganas. Hal ini kerana, mereka hanya mempercayai apa yang tersebar di media massa.
Begitu juga dengan kes penindasan terhadap orang Rohingya di Myanmar sehingga berlakunya pembunuhan beramai-ramai dengan kejam dan rumah mereka turut dibakar walaupun itu adalah negara mereka sendiri. Perkara ini menunjukkan ketidakupayaan dunia untuk menghentikan kekejaman terhadap orang Rohingya di Myanmar.
Kesimpulannya, semua negara perlulah berdamai serta saling membantu untuk bebas daripada segala konflik dan peperangan. Selain itu, jika adanya sebarang konflik, negara yang terlibat perlulah berbincang dan berunding dahulu untuk menyelesaikan masalah, bukan menggunakan jalan kekerasan.
Seterusnya, negara berkuasa besar perlu memainkan peranan penting dengan tidak menyalurkan sebarang bantuan kepada negara yang ingin melancarkan peperangan sebaliknya membantu negara-negara yang sedang membangun dalam mengecapi keamanan dan kesejahteraan seluruh dunia.-UTUSAN
NUR HIDAYAH ZAINUDDIN & PROF. DR. MOHD ROSLAN MOHD NOR
Jabatan Sejarah Dan Tamadun Islam,
Universiti Malaya