SAUDARA PENGARANG,
BERCAKAP mengenai tanggungjawab kepada negara, ia bukan hanya semata-mata berkait antara kerajaan dan rakyat tetapi peranan orang tengah seperti pemilik organisasi, agensi, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta badan-badan berwajib lain bagi mewujudkan tanggungjawab yang muafakat.
Secara keseluruhannya tanggungjawab kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat dilaksanakan dengan baik, namun boleh diperbaiki dengan implementasi teknologi terutama dari segi subsidi.
Rata-rata sedar tentang keistimewaan subsidi serta tujuan utama pemberian tersebut kepada rakyat. Namun, umum masih tidak dapat melihat dengan jelas kerana tidak berlaku di peringkat pengguna tetapi melalui orang tengah dan pengguna membeli dengan kadar akhir yang telah ditentukan.
Pun begitu, kadar akhir ini juga sebenarnya bergantung kepada jenis perniagaan serta kawasan didiami. Harga setiap barang berbeza antara kedai runcit dan pasar raya.
Malah, kelebihan subsidi ini diambil kesempatan oleh rakyat negara jiran untuk membeli barangan runcit serta mengisi petrol bersubsidi tanpa pemantauan yang jelas daripada pihak berwajib terutama pemilik perniagaan tersebut.
Rakyat ingin melihat kepada perubahan yang lebih telus, kerajaan, agensi, syarikat swasta, bagaimana ia boleh dipelbagaikan fungsinya untuk kepentingan mereka.
Oleh kerana kod respons pantas (QR) DuitNow yang diperkenalkan Bank Negara Malaysia sangat istimewa dan hanya boleh dipakai oleh bank dan e-dompet yang dibangunkan di Malaysia, alangkah baik jika fungsinya diperkembangkan dengan integrasi subsidi, malah boleh digunakan juga untuk mata ganjaran, pulangan tunai dan lain lain.
Sekiranya kita integrasikan mod pembayaran QR ini dan jadikannya sebagai Mod Pembayaran Nasional untuk barang runcit dan petrol bersubsidi, maka kerajaan dapat mengawal ketirisan yang berlaku.
Ini sekali gus membolehkan pengguna melihat sendiri bagaimana mereka menikmati keistimewaan subsidi melalui sejarah transaksi penyata akaun mereka. Pada masa sama, kerajaan dan agensi-agensinya juga dapat memantau kuota penggunaan subsidi yang diberikan melalui orang tengah kepada rakyat.
Singapura mempunyai NETS, iaitu kad pembayaran pelbagai transaksi yang menjadi kad pembayaran umum dengan pelbagai promosi dan potongan harga melalui mod pembayaran tersebut.
Negara kita juga mampu untuk terus bersaing dan melaksanakannya dengan lebih baik.-UTUSAN
M. HAMZANI
Shah Alam, Selangor