SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mendedahkan bahawa lapan warga Malaysia termasuk tujuh dari Sarawak telah menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di wilayah Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Kesemua mangsa terbabit terpedaya dengan tawaran gaji lumayan AS$1,000 atau kira-kira RM4,480 sebulan dan dipaksa bekerja untuk sindiket penipuan dalam talian di negara itu.
Jenayah terbabit yang turut melibatkan negara kaya seperti UAE adalah selaras dengan hakikat bahawa penyalahgunaan medium siber bagi melakukan jenayah sekarang adalah umpama cendawan tumbuh selepas hujan.
Jenayah siber ini juga mampu menjangkau batasan dari sesebuah negara ke negara yang lain dalam tempoh masa yang singkat. Oleh itu, pihak berkuasa mestilah menitikberatkan kes ini yang semakin mengganas dalam kalangan masyarakat terutamanya belia.
Jenayah siber terbahagi kepada beberapa jenis jenayah seperti pemindahan wang secara haram, penggodaman dan pancingan data. Pemindahan wang secara haram berlaku apabila wang dipindahkan oleh orang yang tidak mempunyai kebenaran ke dalam akaun milik perseorangan mahupun individu lain.
Selain itu, pemindahan wang secara haram ini sering berlaku kepada pengguna sistem perbankan elektronik apabila berlaku pencerobohan ke atas akaun-akaun bank.
Selain itu, penggodaman kebiasaannya dilakukan oleh individu atau kumpulan yang mempunyai kemahiran yang tinggi berkaitan pengaturcaraan komputer yang membolehkan mereka mencari kelemahan sesebuah perisian komputer.
Penggodaman turut melibatkan pengalihan wang daripada sesebuah akaun atau penipuan pembelian dalam talian. Penjenayah siber pada masa sekarang juga semakin mengganas dengan menyasarkan golongan remaja serta warga tua yang kurang ilmu pengetahuan berkaitan kegiatan penjenayah terbabit.
Oleh itu, pihak berkuasa mestilah sentiasa mengingatkan orang ramai supaya berjaga-jaga semasa melayari internet termasuk ketika melakukan pembelian dalam talian. Hal ini, supaya masyarakat mendapat kesedaran tentang kes jenayah siber yang semakin berleluasa.
Peningkatan isu jenayah siber dalam kalangan remaja terutamanya yang berkaitan dengan gejala sosial amat merisaukan. Tambahan pula, kebanyakan golongan remaja menggunakan internet untuk menjalinkan hubungan sosial atau mencari maklumat seperti menerusi aplikasi Twitter, Facebook dan laman web bebas.
Aplikasi tersebut juga menawarkan pelbagai tawaran serta perkhidmatan yang menarik minat para remaja untuk menggunakannya. Hal ini, tidak dapat dinafikan bahawa aplikasi-aplikasi sosial mempunyai banyak kelebihan seperti dapat berhubung serta membincangkan isu-isu yang tular di ruangan internet.
Namun begitu, terdapat beberapa kelemahan kerana penggunaan aplikasi sosial adalah tanpa kawalan dan bebas. Selain itu, para remaja mungkin tidak menyedari kepentingan untuk mengawasi maklumat diri mereka seperti kata laluan, e-mel dan gambar peribadi.
Oleh itu, orang ramai harus sentiasa berwaspada dan membuat laporan kepada Pusat Bantuan Cyber999 dan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) jika berasa mereka menjadi mangsa penipuan.-UTUSAN
MUHAMMAD HAFIZUDDIN ABDULLAH
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)