Jangan jadikan 5G mainan politik - Utusan Malaysia

Jangan jadikan 5G mainan politik

TERDAPAT dakwaan kelajuan muat turun dan muat naik teknologi 5G di Malaysia adalah antara yang terhebat dalam kalangan negara-negara ASEAN. – GAMBAR HIASAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff baru-baru ini mendakwa model Rangkaian Borong Tunggal (SWN) untuk pelaksanaan teknologi rangkaian generasi kelima (5G) yang dianugerahkan kepada Digital Nasional Berhad (DNB) adalah satu model yang gagal tanpa sebarang penjelasan.

DNB adalah syarikat yang bertanggungjawab menyediakan infrastruktur dan perkhidmatan 5G di negara ini kepada syarikat telekomunikasi lain melalui model SWN.

Ini bermakna syarikat telekomunikasi sedia ada tidak boleh membangunkan infrastruktur sendiri dan perlu membayar DNB untuk akses 5G.

DNB adalah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan diberi mandat oleh kerajaan untuk menjadi pihak neutral tunggal bagi melaksanakan infrastruktur dan rangkaian 5G ke seluruh negara.

Rais Hussin juga menyarankan dicontohi model negara jiran yang memberi lesen mengendali 5G kepada syarikat telekomunikasi secara individu yang sehingga kini, ironinya gagal menyaingi pencapaian DNB berlandaskan SWN yang dipuji Penasihat 5G Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Brett Haan.

Pada Februari lalu, Haan yang juga menasihati kerajaan Perancis dan Brazil untuk pelaksanaan 5G mereka, tampil terlebih dahulu menyanggah idea Rais Hussin dengan menyatakan sistem lain yang dicadangkan itu boleh jadi bercelaru.

Saya pun sebenarnya pelik mengapa DNB tidak proaktif dalam mempertahankan SWN pada mata rakyat.

Juga, kegagalan 5G untuk berfungsi di sesetengah model telefon yang popular dalam kalangan rakyat juga amat janggal sedangkan telah diumumkan pelbagai kejayaan pembangunan teknologi terkini itu di Malaysia.

Kejayaan

Antara kejayaan itu adalah pemasangan menara di kawasan luar bandar serta kelajuan muat turun dan muat naik yang dikatakan terhebat di ASEAN.

Mungkinkah ketiadaan promosi ini kerana penggerak politik negara tidak mendapat manfaat untuk tembolok sendiri?

Terdapat dakwaan kononnya DNB tidak telus dalam pembahagian kontrak tetapi pernahkah kita mendengar syarikat-syarikat gergasi telekomunikasi negara mengumumkan tender terbuka setiap bulan?

Teknologi komunikasi memerlukan akses kepada maklumat dan rangkaian sulit demi keselamatan data negara.

Di Malaysia, sudah muncul anasir-anasir penipuan, maka sebarang perkara yang tidak didedahkan DNB wajib dipelihara agar tidak muncul lebih ramai penipu maya sepertimana sedang dialami rata-rata rakyat jelata sekarang ini yang mengakses data melalui 3G mahupun 4G, sering dihujani panggilan penipuan dalam pelbagai bentuk.

Pengumuman oleh kerajaan Britain mengenai pembatalan khidmat syarikat Huawei dari China di United Kingdom untuk 5G juga jelas membuktikan isu keselamatan, perlindungan data dan harta intelek perlu diutamakan untuk pelaksanaan teknologi 5G di Malaysia.

Maka, tidak keterlaluanlah jika saya katakan, mereka yang bertanggungjawab dalam pengurusan persepsi di DNB mahupun Kementerian Kewangan ini wajar dipecat sahaja.

Prestasi mereka ini tidak berbaloi dengan gaji mahal yang dibayar menggunakan wang rakyat tetapi berdiam diri membiarkan pelaksanaan 5G negara kita diburukkan oleh penulis blog politik, penulis upahan belaan pihak tertentu mahupun suara-suara sumbang pesaing DNB. – UTUSAN

ADAM SUMARDI, Konsultan media

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya