SAUDARA PENGARANG,
GURU didefinisikan sebagai orang yang kerjanya mengajar atau mendidik. Namun, tanggungjawab seorang guru hari ini tidak terbatas hanya kepada definisi itu, bahkan tugasnya jauh lebih banyak dan mencabar.
Peranan guru yang paling utama ialah melahirkan modal insan yang berkualiti dan berdaya saing seterusnya mampu menyumbang tenaga dan bakti kepada pembangunan ekonomi, politik dan sosial negara.
Ironinya, guru kini dihimpit oleh pelbagai desakan tugas yang bersifat bukan akademik, secara tidak langsung memberi tekanan kepada mereka. Realiti dunia pendidikan semasa menyebabkan hampir semua yang bergelar seorang guru perlu menelan situasi pahit ini.
Berbeza dengan situasi 20 atau 30 tahun dahulu iaitu hanya sesetengah guru tertentu sahaja yang terbeban dengan tugas tambahan sebagai pendidik seperti guru mata pelajaran peperiksaan utama, guru yang menjawat jawatan penting di sekolah dan guru yang terpaksa bertugas selepas waktu kelas.
Guru lain yang tidak terlibat dengan tugasan yang dinyatakan pada zaman dahulu mempunyai waktu yang lebih fleksibel untuk menyelesaikan tugasan hakiki masing-masing.
Pada masa sekarang kerajaan telah meletakkan sasaran untuk mencapai segala yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) termasuk mencapai keseimbangan dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Bagi mencapai objektif yang digariskan ini, ada ‘harga’ yang terpaksa dibayar. Impaknya, para guru terpaksa memikul bebanan tugasan yang pelbagai, sebahagian besarnya bersifat bukan akademik yang mendorong kepada faktor tekanan dalam kalangan guru.
Guru juga perlu melakukan tugasan perkeranian seperti mengambil kedatangan pelajar, merekodkan gred pemarkahan pelajar dan menghadiri mesyuarat selain tugasan mengajar tidak boleh diasingkan.
Tekanan tersebut kemudiannya melarat menjadi suatu bentuk permasalahan kesihatan yang menjejaskan kualiti tugas utama mereka sebagai guru.-UTUSAN
AINAA AMIRAH ‘ASHAR
Tanjong Malim, Perak