SAUDARA PENGARANG,
TAHUN 2022 bakal melabuhkan tirainya seiring berakhirnya kempen kutipan zakat oleh pelbagai institusi atau lembaga zakat.
Antaranya Kempen Berzakat Akhir Tahun 2022 (YEZ) yang bermula pada 26 November lalu anjuran Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Kempen ini bertujuan menggalakkan masyarakat menunaikan kewajipan berzakat. Kempen akhir tahun ini dioptimumkan dengan mempromosikannya melalui pelbagai medium termasuk saluran media sosial.
Medium ini merupakan salah satu saluran berkesan dalam menyampaikan maklumat berkaitan zakat pendapatan secara khusus dan zakat lain secara amnya.
Promosi dan dakwah supaya berzakat menerusi pelantar media sosial seperti Facebook, TikTok, Instagram, Twitter dan beberapa lagi adalah selaras dengan norma baharu.
Teknologi ini membenarkan sepenuhnya penggunaan informasi berbentuk teks, gambar mahupun video dalam meningkatkan kefahaman masyarakat bukan sahaja mengenai zakat pendapatan dan lain-lain, malah organisasi zakat di tempat mereka.
Pelbagai video pendek berdurasi seminimum 23 saat, gambar, grafik dan sesi secara langsung termasuk 500 hadiah yang ditawarkan kepada pembayar zakat memang menarik perhatian.
Oleh itu, apabila tiba awal 2023, institusi dan lembaga zakat perlu membuat pertimbangan bagi menggunakan infografik lebih agresif yang dapat memberikan informasi berbentuk visual dan menarik untuk dikongsikan dengan pengikut media sosial mereka.
Apabila pengikut tertarik, ia juga menjadikan mereka lebih cenderung untuk berkongsi siaran dengan rangkaian lain. Ini secara tidak langsung meningkatkan jangkauan dan kehadiran promosi terbabit di semua saluran yang ada. – UTUSAN
IRMA SYARLINA CHE ILIAS, Institut Teknologi Maklumat Malaysia Universiti Kuala Lumpur