GTA kalah tapi membanggakan - Utusan Malaysia

GTA kalah tapi membanggakan

PEMIMPIN Gerakan Tanah Air (GTA) yang menggunakan logo Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengakui kekalahan tetapi bangga tidak lari daripada perjuangan asal. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BUAT masa ini Gerakan Tanah Air (GTA) jauh daripada mampu untuk bersaing dengan jentera Pas yang telah lama berakar umbi sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula ‘maha hebat’ sehingga mampu menampilkan mereka seolah-olah satu-satunya pilihan untuk orang Melayu.

Kami siap siaga menandingi Pakatan Harapan (PH) yang retorik dan kebencian mereka kepada para ‘penyamun’ telah membangkitkan semangat majoriti masyarakat bandar dan bukan Melayu untuk menyokong gerakan reformasi.

Kami juga tidak setanding dengan Barisan Nasional (BN) yang telah menggerakkan seluruh bala tentera untuk mempertahan pemimpin mereka yang disebut sebagai ‘penyamun’ oleh PH sebelum keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diumumkan.

Ya, kami terima kekalahan ini, hatta pemimpin utama dan negarawan kami kecundang dalam peperangan kali ini. Beliau seolah-olah dijaja oleh musuh-musuh bahawa telah ditolak terus oleh rakyat seluruhnya.

Kami kalah, namun tidak berputus asa. Sekurang-kurangnya kami masih mampu tersenyum dan berasa sedikit bangga kerana tidak sombong serta menerima kenyataan.

Setidak-tidaknya kami tidak keliru pada prinsip dan pendirian parti. Setidak-tidaknya jentera kami yang gagah namun kecil, tidak akan berasa malu.

Mereka juga tidak berasa terhina apabila laungan lagu, Hoi Hoi Ya Hoi yang kembali didendangkan seperti menyindir-nyindir mereka, seolah-olah mereka sebahagian dari ‘penyamun’ yang mereka jelekkan sebelum ini.

Pemimpin wibawa kami, tidak perlu menjadi pelakon wayang yang mendendangkan lagu politik palsu demi untuk membeli jiwa dan harapan rakyat yang sebenarnya tidak ingin pun mereka penuhi.

Kami mampu bangkit dan berusaha untuk membuktikan perjuangan GTA benar dan tidak akan berhenti di sini. – UTUSAN

DATUK NIZAM MAHSHAR
Ketua Penerangan GTA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya