SAUDARA PENGARANG,
KEKALAHAN Gerakan Tanah Air (GTA) yang menggunakan logo Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu adalah kerana tidak sempat menerangkan kepada rakyat bahawa ia adalah pilihan terbaik.
Ini kerana GTA menawarkan pentadbiran Melayu moderat yang bertoleransi dengan semua kaum dan mesra perniagaan.
Sebagai gerakan rakyat yang mengandungi bukan sahaja parti politik, malah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan golongan akademik, GTA membawa model pentadbiran ideal untuk Malaysia yang mana sebanyak 70 peratus rakyatnya adalah Melayu dan bumiputera.
Selain kekangan masa, terdapat pelbagai rintangan lain termasuk pendaftaran belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), stesen televisyen tidak memberi ruang sewajarnya sepanjang waktu berkempen dan tidak dinafikan juga beberapa faktor dalaman, terutama dari segi persediaan.
Namun, kekalahan ini tidak bermakna GTA akan berhenti daripada perjuangan memartabatkan Melayu, Islam dan tanah air. Sebaliknya, ia adalah satu pengalaman dan pengajaran amat berharga serta ada hikmahnya.
Sekarang rakyat boleh menilai sendiri pilihan telah dibuat yang menyaksikan pemilihan jemaah menteri mengambil masa lama dan diiringi kontroversi. Maka, rakyat sepatutnya sudah boleh menilai situasi semasa.
GTA mengambil iktibar daripada kekalahan dan meneruskan usaha memperkenalkan diri kepada seluruh rakyat bahawa masih ada pilihan untuk mereka apabila tiba sekali lagi peluang bagi menentukan pentadbiran kerajaan.
Rakyat tidak perlu lagi mendengar segala janji atau dendangan lagu untuk menentukan hala tuju negara. Ini kerana jelas janji tidak ditepati dan lagu tidak membawa erti.
Buatlah pilihan berpandukan fakta dan sejarah serta kemampuan bagi menilai siapa yang akan mentadbir negara pada masa depan. – UTUSAN
AZMAN MOHD. HASHIM, Ahli Majlis Eksekutif Pusat, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)