Fahami pendirian Islam dalam berjihad

Fahami pendirian Islam dalam berjihad

Islam mempunyai pendirian tersendiri mengenai perang dalam konteks jihad, namun ia berdasarkan alasan hukum yang sahih.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ISLAM sememangnya agama yang amat menitikberatkan soal kedamaian dalam kehidupan bermasyarakat.

Dalam ajaran Islam, hubungan antara individu adalah hubungan perdamaian. Al-Quran mengajarkan tujuan Allah menciptakan manusia yang berbeza-beza suku serta bangsa untuk saling mengenali agar hidup aman dan harmoni.

Pandangan Barat yang menganggap Islam sebagai pengganas menyebabkan masyarakat luar menganggap Islam sebagai agama yang mengamalkan keganasan, penindasan dan peperangan. Tanggapan itu ekoran banyak berlakunya peperangan dalam sejarah Islam terdahulu.

Islam mempunyai pendirian tersendiri mengenai perang dalam konteks jihad, namun ia berdasarkan alasan hukum yang sahih. Dalam al-Quran menerangkan tentang peraturan dan dasar hukum perang, pelaksanaan, penghentian dan kesan positif dan negatifnya.

Tuduhan Barat yang mengatakan Islam sanggup menggunakan keganasan dan peperangan untuk menyebarkan agama sememangnya salah. Hal ini kerana dalam al-Quran menjelaskan: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).” (Surah Al-Baqarah:256)

Dalam Islam juga ada menyatakan terdapat perkara wajib perlu dipelihara demi mewujudkan kedamaian dan ketenteraman dalam kehidupan bermasyarakat, iaitu dengan memelihara agama dan mempertahankannya, memelihara diri dari hal-hal yang membinasakannya, memelihara akal, memelihara keturunan dan nama baik serta memelihara harta. Memulakan peperangan juga mestilah atas niat yang benar kerana Allah dan bukan kerana niatniat lain seperti ingin mendapatkan harta rampasan perang atau gelaran sebagai pahlawan perang dengan tujuan bermegah-megah.

Nabi Muhammad bersabda: “Orang-orang yang berperang untuk meninggikan kalimah Allah (li i’lai kalimatillah) maka dialah yang telah berjuang dijalan Allah (fisabilillah).”

Islam juga mengingatkan kaum muslim agar tidak melampaui batas ketika berperang. Dalam Islam tidak dibenarkan untuk membunuh musuh yang telah menyerah diri, membunuh kanak-kanak, wanita dan orang tua. Rasulullah juga melarang membunuh haiwan ternakan musuh dan merosakkan tanaman. Tujuan sebenar perang adalah untuk menarik manusia ke jalan yang benar demi menegakkan agama Allah di muka bumi ini.

Oleh itu, umat Islam seharusnya membuka mata dan membantu saudara seagama yang sedang bergelut dengan konflik seperti di Palestin, Syria, Iran dan lain-lain. Jika negara Islam bergabung dan menentang musuh Islam yang memerangi negara bergolak, sudah tentu mereka dapat merasakan hidup dalam keadaan aman dan harmoni dengan izin Allah.-UTUSAN

PROFESOR DR. MOHD ROSLAN MOHD. NOR & NURIFFAH JAMILANI
Jabatan Sejarah & Tamadun Islam
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya