SAUDARA PENGARANG,
PIALA Dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Qatar 2022 dari 20 November hingga 18 Disember ini adalah julung-julung kalinya di negara Arab dan Islam.
Peluang kali ini dimanfaatkan semaksimum mungkin oleh Qatar untuk menyampaikan mesej Islam sehinggakan ramai pengunjung ke negara itu membuka mata kepada keindahan agama berkenaan.
Sebahagian pihak menyatakan, Piala Dunia FIFA 2022 telah mengubah persepsi buruk jutaan manusia termasuk orang-orang Barat yang mempunyai Islamofobia terhadap Islam.
Pihak penganjur mewajibkan laungan azan sebanyak lima kali sehari di stadium dan menyediakan kemudahan tempat solat tidak seperti Piala Dunia FIFA sebelum-sebelum ini.
Tempat solat yang banyak memudahkan pelancong-pelancong Muslim mengakses ruangan tersebut untuk berwuduk dan bersembahyang. Sebelum ini, ada peminat bola sepak terpaksa berjalan ke luar stadium untuk menunaikan kewajipan solat.
Qatar juga tidak bertolak ansur sama sekali dengan penjualan arak kepada para penyokong dan pelancong yang datang, bahkan pelbagai jualan makanan halal menjadi hidangan dan pilihan sepanjang pertandingan.
Penganjuran perlawanan bola sepak bersifat global telah memberi nafas baharu untuk menunjukkan Islam menganjurkan keamanan sejagat. Jika dilihat dengan suasana di dalam dan di luar Stadium Al-Bayt telah terpampang hadis-hadis Rasulullah SAW.
Para pelancong dan pelawat dapat membiasakan keadaan sedemikian. Untuk membiasakan yang betul itu satu cabaran kerana kadang-kadang manusia prejudis dengan apa yang diterima bahawa Islam itu pengganas, namun dengan mempamerkan hadis-hadis ini secara tidak langsung membiasakan pandangan pengunjung terhadap tulisan dalam bahasa Arab.
Ikon
Pelancaran temasya itu juga sangat unik dan berbeza dengan Piala Dunia FIFA sebelum ini iaitu dengan pelbagai jenis ikon binatang, manakala kali ini menyaksikan pembukaannya bermula dengan dialog yang sangat ringkas tetapi padat dengan mengangkat ayat suci al-Quran.
Ia melibatkan pelakon Hollywood, Morgan Freeman dengan ikon pemuda Qatar iaitu Ghanim Al-Muftah yang berdialog tentang bagaimana kepelbagaian manusia boleh hidup dengan harmoni di bawah satu bumbung?
Ghanim menjawab dengan membaca surah Al-Hujurat, ayat 13 dengan terjemahan dalam bahasa Inggeris. Maksudnya:
“Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu daripada laki-laki dan perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti.”
Pendakwah-pendakwah Islam dari pelbagai platform dipanggil membuat pameran untuk menerangkan imej sebenar Islam kepada para pelancong yang hadir.
Ia sememangnya peluang keemasan yang bijak dimanfaatkan oleh Qatar agar Islam lebih difahami dan disayangi.
Hasil daripada usaha murni ini, dikatakan sekitar 500 orang memeluk Islam dan semoga ia semakin bertambah sehingga ke penutup Piala Dunia FIFA kali ini.
Perkara ini haruslah dijadikan contoh dan model kepada negara-negara lain khususnya negara Islam untuk mendahulukan apa yang Tuhan mahu daripada apa yang manusia mahu. – UTUSAN
DR. SITI SYAHIRAH SAFFINEE dan DR. ZIZI AZLINDA MOHD. YUSOF, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)