SAUDARA PENGARANG,
BUDAYA berpersatuan semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat merentasi kaum dan agama. Berpersatuan itu sendiri membawa maksud aktiviti dijalankan oleh sekumpulan individu tertentu yang mempunyai matlamat, minat, kegemaran, kerjaya atau latar belakang sama. Kelab dan persatuan juga boleh menjadi platform perkongsian falsafah dalam memperjuangkan sesuatu.
Aktiviti berpersatuan memberi banyak kelebihan terutama dalam memperoleh pengalaman yang tiada dalam pembelajaran formal lain. Interaksi dan kerjasama ahli dengan kombinasi ahli lama dan baharu mewujudkan sinergi yang baik dalam membina jaringan dan hubungan sama ada sesama ahli atau pihak luar melalui penganjuran aktiviti.
Ia menjadi medan menjalin ukhuwah dan silaturahim. Selain itu, aktiviti ini boleh dikembangkan dengan program pembangunan diri melalui perkongsian ilmu mengikut minat dan kecenderungan yang sama dalam kalangan ahli.
Tidak semua mampu untuk menyumbang tenaga, masa dan idea dalam komuniti di luar kepentingan diri dan keluarga atas nama kerja amal. Justeru, apabila melaksanakan aktiviti melibatkan khalayak ramai, ia bukan sekadar memerlukan kemahiran komunikasi interpersonal, tetapi paling utama seseorang itu mestilah memiliki jiwa besar.
Ini penting apabila ingin melaksanakan program berbentuk kerja amal. Seiring bahang peningkatan kos sara hidup yang tinggi terutama apabila harga makanan dan bahan mentah naik sedikit demi sedikit, maka inilah masanya pelaksanaan kerja amal dan kesukarelawanan terutama membantu golongan susah dan kurang bernasib baik diperkasakan.
Kerjasama tidak hanya terhad dalam bentuk sumbangan wang, malah sumbangan tenaga seperti aktiviti gotong-royong pembersihan kawasan mahupun pembinaan rumah untuk golongan susah.
Dalam menerajui kelab dan persatuan, pencapaian matlamat dan objektif amat bergantung kepada kebijaksanaan dan kecekapan tonggak kepimpinan.
Pemimpin kelab dan persatuan harus bijak meneliti nuansa setiap personaliti serta mengutamakan dinamik dan keharmonian yang sihat bagi kumpulan diterajuinya.
Menjadi tanggungjawab ahli juga untuk terus menyokong dan memberi kerjasama baik kepada kepimpinan dipilih secara demokrasi.
Jika terdapat kelemahan kepada kepimpinan, ahli boleh sahaja memberi teguran dan menyuarakan pandangan melalui siri-siri mesyuarat yang dijadualkan.-UTUSAN
MOHD. RAFIZI RAHMAD & NOOR ASYIKIN MD. NOR
Kelab Penolong Pendaftar
Universiti Teknologi Mara (UiTM)