Berkempen jangan serang peribadi - Utusan Malaysia

Berkempen jangan serang peribadi

CALON yang masih berkempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman hendaklah berusaha menarik pengundi dengan cara yang positif. – GAMBAR HIASAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

AJARAN asas bagi setiap agama adalah bercakap jujur dan tidak menghina orang lain. Namun, sejauh mana perkara tersebut boleh dipraktikkan dalam kempen politik termasuk pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi terpulang kepada calon bertanding sama ada mahu berkempen secara sihat atau sebaliknya.

Peringatan juga telah diberikan Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim yang menyatakan sebagai orang beragama Islam, menjadi kewajiban untuk kita bertindak atau berkempen mengikut lunas-lunas yang digariskan oleh agama.

Jais berkata, pihak yang berbuat selain daripada lunas-lunas tersebut adalah mereka yang sama ada angkuh ataupun sengaja tidak mahu memahami konsep asas ini.

Beliau juga menyentuh tentang rasuah apabila menyatakan pemberian barangan dan makanan sepanjang tempoh berkempen pilihan raya juga dianggap sudah menjadi budaya bagi masyarakat walaupun hakikatnya ia adalah kesalahan berbentuk rasuah mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Katanya, rasuah sepanjang tempoh berkempen boleh berlaku melalui pemberian secara fizikal, ucapan dan melalui kemudahan teknologi maklumat (IT) yang dilakukan secara terlindung.

Rasuah ketika tempoh berkempen kini semakin sukar dibuktikan apabila wujudnya keadaan di mana calon menggunakan ‘orang tengah’ atau pihak ketiga bagi melakukan aktiviti itu.

Kadang-kadang, kempen positif pada parti A dianggap negatif oleh parti B, begitulah sebaliknya. Misalnya, calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Shah Alam pada PRU15, Hizatul Isham Jalil mengamalkan budaya berkempen secara positif iaitu bercerita tentang usaha untuk melakukan perubahan infrastruktur di Selangor.

Namun, beliau tetap diserang secara peribadi oleh parti lawan yang meragui kelulusan akademiknya. Justeru, semua pihak sewajarnya mencerminkan diri sebelum melabel pihak yang tidak sebulu sebagai berkata negatif kepada mereka.

Dalam kempen pilihan raya tidak kira pilihan raya kecil atau umum, semua pemimpin politik, penyokong parti dan penganalisis akan menzahirkan komen mengikut kecenderungan dan pemerhatian mereka.

Sudah pasti ada bicara mencetus rasa duka lara seperti tuduhan calon terhadap calon lain dalam bab rasuah dan salah guna kuasa dan wang ringgit.

Adakah apabila kita menuduh orang lain tanpa bukti, kita sedar ia salah? Oleh itu berlapang dada dalam berkempen kerana semua orang hendak menang tetapi ramai yang tidak mahu memikul tanggungjawab terhadap kata-kata mereka sendiri.

Untuk calon-calon yang masih berkempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman dan Parlimen Padang Serai, lakukanlah secara positif atau membina iaitu untuk pembangunan dan kebajikan rakyat dan bukan menyerang peribadi pihak lawan.

Jangan menyerang peribadi, takut-takut esok lusa terpaksa menjadi penyokong blok yang sama. Kekalkan budaya politik positif, jangan diusik perkara sensitif. – UTUSAN

ABDUL RAZAK IDRIS
Shah Alam, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya