SAUDARA PENGARANG,
PRE-EXPOSURE prophylaxis (PrEP) ialah ubatan oral yang digunakan untuk mencegah jangkitan virus kurang imun manusia (HIV) yang tersebar melalui hubungan kelamin ataupun penggunaan jarum suntikan yang diedarkan melalui klinik-klinik kesihatan di Selangor, Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan Sabah.
Buat masa ini, PrEP diberikan kepada individu berstatus HIV-negatif yang berisiko untuk mendapat HIV, seperti pasangan kepada individu yang menghidap HIV. Individu yang menghidap HIV serta keluarga mereka adalah kategori pesakit yang layak untuk dilindungi dan sepatutnya menerima rawatan terbaik yang tersedia.
Namun, apa yang membimbangkan, perancangan terkini Kementerian Kesihatan (KKM) untuk meluaskan penggunaan PrEP kepada pasangan homoseksual berstatus HIV-negatif dan secara atas permintaan. Kami menggesa KKM menilai semula perancangan ini.
Kami berpendapat bahawa KKM sepatutnya lebih menumpukan kepada kempen pencegahan, yang bermula dengan penghindaran perbuatan seks itu sendiri. Mesej-mesej kesihatan dan saranan kepada masyarakat awam untuk mengelakkan hubungan kelamin melalui dubur (seks anal) sepatutnya menjadi langkah utama pencegahan.
Pencegahan awal melalui farmaseutikal hanya terpakai untuk ubat-ubatan ataupun vaksinasi secara sekali beri atau dengan kekerapan minimum. Berbeza dengan PrEP yang memerlukan lelaki yang mengamalkan seks dengan lelaki (MSM) untuk mengambil ubat tersebut setiap hari kerana mereka dikategorikan sebagai individu yang kerap terdedah kepada risiko.
Mengambil kira majoriti pengamal MSM adalah mereka yang masih muda, strategi ini bukan sahaja berupaya meruntuhkan nilai moral masyarakat, bahkan dari sudut ekonomi, ia akan menyebabkan berlakunya perbelanjaan yang tinggi dan tidak munasabah.
Menahan diri dan kesetiaan kepada pasangan tidak boleh dinafikan oleh profesion perubatan sebagai satu langkah pencegahan utama, yang juga turut diperakui oleh beberapa badan piawaian antarabangsa seperti Pusat Kawalan Penyakit (CDC) yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
WHO turut mendefinisikan kesihatan sebagai suatu keadaan yang dinamik merangkumi aspek fizikal, mental, spiritual dan kesejahteraan sosial, serta bukan terhad hanya semata-mata kepada ketiadaan penyakit dan ketidakupayaan.
Adalah berlawanan dengan logik yang mana pengamal kesihatan menggalakkan perkembangan tingkah laku yang berisiko tinggi, bilamana kita sebenarnya perlu untuk menghentikannya. – UTUSAN
PROFESOR DR. RAFIDAH HANIM MOKHTAR, PROFESOR DR. SAMSUL DRAMAN, PROFESOR DR. ANIS SAFURA RAMLI, PROFESOR HARMY MOHAMED YUSOF, PROFESOR MADYA DR. ROSEDIANI MUHAMAD & PROFESOR MADYA DR. ANI AMELIA
USIM, UIAM, UiTM, UniSZA, USM & UKM