SAUDARA PENGARANG,
SEKARANG adalah musim banjir di kebanyakan negeri di Semenanjung ekoran hujan lebat berterusan sejak beberapa minggu lalu. Musim banjir membawa seribu satu cabaran kepada mereka yang terlibat apabila segala-galanya musnah akibat ditenggelami air.
Selain rumah dimasuki air, bencana itu juga mengakibatkan hasil tanaman musnah, binatang ternakan mati, harta benda rosak dan segala yang disayangi hilang dihanyut banjir. Itu semua adalah dugaan untuk menguji kesabaran setiap mereka yang terlibat.
Apa yang perlu dilakukan oleh penduduk di kawasan dilanda banjir adalah sentiasa berhati-hati dengan pelbagai risiko. Ibu bapa hendaklah sentiasa memerhati pergerakan anak-anak yang sedang bercuti sekolah dalam musim banjir agar tidak membiarkan mereka terlalu lalai bermain air.
Di setengah tempat, dilihat air banjir bukan sahaja dalam malah alirannya terlalu laju hingga boleh menghanyutkan sesiapa sahaja jika tidak berhati-hati. Kanak-kanak bukan sahaja tidak boleh dibiarkan berenang dan bermain di dalam banjir yang boleh menghanyutkan mereka selain terdedah pada pelbagai pencemaran yang juga boleh membawa penyakit.
Mereka yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) juga perlu lebih banyak bersabar kerana di situ keadaannya tidak selesa seperti tinggal di rumah sendiri. Makan dan minumlah apa sahaja yang diberikan oleh para petugas. Bukan untuk memenuhi nafsu selera makan tetapi yang penting untuk mengisi perut dalam kelaparan.
Di sini saya juga tidak lupa mengucapkan setinggi penghargaan kepada para petugas di PPS yang tidak mengenal letih dan susah bagi memastikan setiap mangsa banjir mendapat pertolongan sepenuhnya. Sama-samalah kita berdoa agar banjir yang melanda sekarang tidak berpanjangan. –UTUSAN
RAMLI ISMAIL, Kangar, Perlis