Amalan Little Napoleon hanya merosak organisasi

Amalan Little Napoleon hanya merosak organisasi

SESEORANG ketua tidak boleh menzahirkan Little Napoleon hanya kerana mahu mengambil tindakan secara populis, sebaliknya menghormati pegawai dan staf yang kompeten, setia dan taat dalam tugastugas hakiki mereka. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

LITTLE NAPOLEON adalah analogi sifat pekerja yang mirip maharaja kuku besi Perancis abad ke-18, Napoleon Bonaparte yang sombong, bongkak dan angkuh pada era pemerintahannya.

Dalam konteks negara ini pula, ketua organisasi awam, swasta, pertubuhan, koperasi, kesatuan sekerja, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu menelusuri situasi dengan tepat sama ada mempunyai ciri personaliti sebagai pengurus atau ketua.

Tuntasnya, ketua tidak boleh menzahirkan Little Napoleon hanya kerana mahu mengambil tindakan secara populis, sebaliknya perlu menghormati pegawai dan staf lain yang kompeten, setia dan taat dalam tugas-tugas hakiki mereka.

Ketua perlu melatih dan mendidik subordinat terhadap tanggungjawab supaya lahir lebih ramai pekerja serba boleh dan tidak bergantung kepada staf tertentu.

Penyelesaian masalah terletak pada integriti ketua dengan gaya kepimpinan yang berwibawa dan berakauntibiliti serta perlu menyedari kesan setiap perbuatan menjadi benteng ketahanan kendiri dan minda pada masa hadapan.

Ketua yang berintegriti tidak akan membiarkan nilai organisasi hanya slogan, sebaliknya berusaha untuk mengamal, menterjemah serta menghayati melalui penganjuran aktiviti serta program latihan berpasukan.

Ini bertujuan membentuk nilai untuk meningkatkan kompetensi warga organisasi terhadap nilai-nilai yang telah dipersetujui secara bersama.

Ketua pula perlu berupaya mengukur untuk memastikan pematuhan kepada nilai organisasi serta pengukuran terhadap pencapaian nilai tersebut.

Sebaliknya ketua yang hanya pandai bercakap, pandai mengarah, pandai berhujah tetapi dalam masa sama melakukan penderaan emosi terhadap subordinat adalah amalan yang boleh merosak dan memudaratkan organisasi dalam dunia nyata secara jangka panjang.

Tidak sepatutnya ketua yang berbekal kelulusan akademik tinggi mempunyai pengalaman bekerja dan mengikuti penerapan integriti, gagal menilai perilaku staf yang ikhlas berkawan dengan pegawai atasannya  atas nama pekerjaan atau mengambil kesempatan memanipulasi keadaan.

Dalam konteks komunikasi organisasi, ketua perlu menghapuskan Little Napoleon, selanjutnya melaksanakan tugas secara berintegriti seperti yang digagas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memetik surah Hud ayat 88 bermaksud: “Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNya aku kembali.”-UTUSAN

YOSRI ABU MAHSIN
Putrajaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya