4,000 koleksi nadir di UPSI - Utusan Malaysia

4,000 koleksi nadir di UPSI

BANGUNAN Suluh Budiman dibina pada 1919 dan siap pada 1922 dijadikan Muzium Pendidikan Nasional di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak. – IHSAN PEMBACA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA pernah membuat kajian tentang Sultan Idris Training College (SITC) dan tokoh-tokoh pada eranya hingga ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Tidak dinafikan peristiwa ‘penghapusan dan pembakaran bahan-bahan rujukan seperti buku-buku lama’ berlaku di zaman peralihan di antara Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) dan UPSI.

Tetapi melalui temu bual saya dengan ramai lepasan SITC/Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) seperti tokoh pendidikan, Allahyarham Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Awang Had Salleh dan Allahyarham Datuk Abdul Razak Abdul Hamid (Razak Sensei), bukan sepenuhnya peninggalan IPSI itu dihapuskan semua sekali.

Peralatan terlalu uzur dan tidak ekonomik patut dilupuskan kerana ia tidak menguntungkan dan memerlukan ruang yang besar untuk penyimpanan sedangkan ia tidak lagi digunakan.

Mungkin ada buku dibuang atau dibakar jika kandungannya sudah tidak relevan lagi. Bahan yang elok dan boleh digunakan pula masih banyak disimpan seperti buku sejarah lama dan buku nadir.

Ia sesuai dengan kenaikan taraf IPSI menjadi UPSI pada 1987. Universiti memerlukan peralatan moden serta lengkap untuk terus berkembang dan maju.

Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB) UPSI masih menyimpan lebih kurang 4,000 koleksi nadir yang berkaitan dengan sejarah, sastera, perguruan dan rekod tokoh-tokoh guru era SITC (1922-1957). Koleksi nadir ini terdiri daripada bahan-bahan dalam bahasa Inggeris dan Melayu (tulisan Jawi).

Buku-buku karangan tokoh terkenal seperti O.T. Dussek (Pengetua SITC), Pendeta Za’ba (penterjemah) dan guru-guru seperti Ahmad Bakhtiar, Abdul Hadi Hasan, Harun Aminurrashid, Buyong Adil, Shaharom Husain dan lain-lain penulis SITC/MPSI masih banyak.

Di samping buku-buku karangan anak kandung SITC, PTB masih menyimpan buku-buku sejarah karangan sarjana Inggeris (1800-1900).

Terdapat juga buku-buku teks mengandungi kurikulum pelajaran sekolah-sekolah Melayu di zaman British (1900-1957).

Begitu juga buku-buku yang diterbitkan oleh Pejabat Karang Mengarang SITC (1924- 1941), majalah Chendera Mata SITC (1923- 1941) dan Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (JMBRAS 1800-1926) masih lengkap dan berkeadaan baik.

Terdapat juga buku daftar atau rekod pentadbiran, Principal’s Diary SITC 1922- 1950 dan Record of Service and Leave Sultan Idris Training College masih tersimpan dalam keadaan baik di Koleksi Nadir, PTB.

Adalah menjadi kewajaran apabila kita menduduki rumah baharu, barang-barang yang kurang penting serta tidak digunakan lagi kita akan hapus kira.

Tetapi masih ada barang-barang antik yang berguna dan mempunyai nilai tinggi kita masih menyayanginya dan akan disimpan untuk kegunaan generasi akan datang. – UTUSAN

DR. RAJA AHMAD SHALABY RAJA HASSAN, Pustakawan Kanan Perpustakaan Tuanku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya