Warkah buat pemimpin Melayu - Utusan Malaysia

Warkah buat pemimpin Melayu

PEMIMPIN Melayu Islam perlu duduk bersama untuk berunding dan elak bercakaran sesama sendiri semata-mata mahu mengejar kuasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TULISAN ini sebagai kasih dan tanda sayang buat ayahanda pemimpin Melayu Islam dari semua parti Melayu yang bertapak di negara ini. Anak bangsa Melayu mengharapkan ayahanda semua sentiasa sihat dan dirahmati Allah SWT selalu.

Tulisan ini anakanda dedikasikan kepada semua ayahanda pemimpin Melayu Islam yang berjiwa merdeka dan berlapang dada. Anakanda tahu, semua ayahanda pemimpin Melayu Islam sangat kuat bekerja demi anak bangsa.

Anakanda tahu, semua ayahanda pemimpin Melayu Islam mengajar kami erti menyatukan bangsa dan membangunkan negara. Namun, anakanda sedih melihat semua ayahanda Melayu Islam bercakaran sesama sendiri demi mengejar kuasa.

Anakanda tahu, dunia bukan segala-galanya namun dunia telah memperdayakan serta memperjudikan nasib anak bangsa. Hasrat anakanda ingin meluahkan rasa terbuku di dada sebagai kasih dan ingatan buat ayahanda semua pemimpin Melayu Islam di mana jua berada.

Jangan lukakan hati anak bangsa yang ingin bahagia. Jangan biarkan anak bangsa menangis dan menderita. Di manakah tempat bergantung harap agar kebahagiaan kami sentiasa dibela?

Kami anak bangsa tidak mahu melihat ayahanda pemimpin Melayu Islam saling menghina dan membuka pekung di dada. Malunya anakanda jika dilihat orang seluruh dunia. Semua ayahanda pemimpin Melayu Islam sentiasa mengingatkan kami erti budi bahasa dan budaya kita.

Jatuh bangun kita bersama, cubit paha kanan paha kiri terasa jua. Maruah kita perlu dijaga. Nasib untung kita, tiada siapa yang peduli. Akhirnya kita yang menanggung rugi.

Debat

Untuk semua ayahanda yang anakanda kasihi, mengapa perlu berdebat sesama kita jika ada pintu sentiasa terbuka? Moleknya semua ayahanda duduk bersama daripada berdebat merugikan bangsa.

Jika rundingan itu lebih sihat daripada debat yang boleh menambahkan luka, anakanda teringat pesanan warisan petua lama, menang sorak kampung tergadai.

Apa yang tinggal hanyalah luka yang sangat menyeksa jiwa melihat ayahanda semua hilang punca. Untuk semua ayahanda pemimpin Melayu Islam dari semua parti yang ada, jika tiada jalan keluar untuk kita bersama, janganlah dibawa berita duka.

Jangan dibuka kepada mereka yang derhaka. Jangan dibiar Islam dan Melayu dihina. Jika semboyan sudah berbunyi, jika jentera sudah dikerah, jika terpaksa bertemu buku dengan ruas, pastikan anak bangsa tidak hidup menderita.

Anakanda sangat yakin dan percaya, ayahanda semua pemimpin Melayu Islam bijak dan perkasa. Semoga percaturan ayahanda semua membawa berita gembira untuk anak bangsa.

Hidup bangsa kerana kita bersama. Hilang bangsa kerana kita berpecah. Anakanda mohon kemaafan buat ayahanda semua pemimpin Melayu Islam jika ada tutur kata mengguris jiwa.

Harapan anakanda dan seluruh bangsa Melayu khususnya, kami semua cintakan ayahanda. Jika ada kebaikan daripada luahan anakanda ini, diharap ayahanda semua pemimpin Melayu Islam faham isi hati yang ingin anakanda sampaikan.

Kita kuat jika bersatu hati. Buang yang keruh ambil yang jernih. Bina kejayaan demi anak bangsa. – UTUSAN

DR. ZURAIMY ALI, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya