Undilah calon yang benar-benar layak jadi pemimpin

Undilah calon yang benar-benar layak jadi pemimpin

SUDAH pasti rakyat akan memilih pemimpin yang bertanggungjawab dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DALAM perspektif Islam, pelantikan dan pemilihan seseorang sebagai pemimpin merupakan suatu perkara yang sangat besar dan penting. Ini kerana peranan dan tanggungjawab dipikul sangat berat dan penting bagi menjaga kemaslahatan orang dipimpinnya dalam semua aspek melibatkan kepentingan dunia yang berkaitan dengan soal kehidupan, undang-undang dan sebagainya. Bahkan soal dalam memelihara agama dan syariat Islam itu sendiri.

Dalam membahaskan tentang kepimpinan, ada perkara menarik boleh sama-sama kita fikirkan apabila merujuk kepada beberapa hadis dan memahami konteksnya dengan baik.

Kisah Abu Dzar al-Ghifari yang meminta jawatan dalam kerajaan daripada Nabi SAW adalah kisah yang boleh dijadikan pengajaran untuk kita semua. Perkara ini diceritakan sendiri oleh Abu Dzar al-Ghifari atau nama sebenar beliau, Jundab bin Junadah yang pernah meminta daripada Nabi SAW agar beliau dilantik dengan sesuatu jawatan sebagai pemimpin seperti mana Nabi SAW lakukan terhadap beberapa orang sahabat lain.

Melihat kepada perbincangan terhadap beberapa hadis, jelas menunjukkan soal kepimpinan bukan perlu diambil mudah.

Namun, perlu kepada kelayakan yang khusus dan mempunyai kemampuan dalam memimpin dengan baik. Pada masa sama meletakkan kepimpinan sebagai tanggungjawab dan segala tanggungjawab tersebut adalah amanah yang perlu dipikul dengan sebaiknya.

Jawatan sebagai pemimpin bukan merupakan peluang untuk meraih kuasa dan pengaruh orang lain atau ruang untuk mengumpulkan kekayaan. Bukan juga untuk menunjukkan kelantangan dan keras kepala serta melakukan tindak tanduk mengikut sesuka hati sahaja kepada orang ramai. Hakikatnya, segala permasalahan dalam masyarakat atau rakyat dipimpin berada di bawah tanggungjawabnya.

Ambillah pengajaran daripada Khalifah Umara al-Khattab r.a. yang sanggup berjaga malam memerhati dan menyelidik hal ehwal rakyat sama ada senang atau sebaliknya. Beliau sanggup turun ke lapangan bersendirian dengan pembantunya demi memastikan amanah kepimpinan sebagai khalifah dapat dilaksanakan sewajarnya mengikut kemampuan yang ada.

Justeru, dalam suasana demam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini, sangat disarankan kepada semua lapisan masyarakat yang layak mengundi untuk memastikan calon bakal dipilih mempunyai kelayakan  sebagai seorang pemimpin yang mampu untuk menjaga kebajikan rakyat, yang sentiasa ingat tentang tanggungjawabnya kepada rakyat dan paling penting adalah seorang pemimpin yang akan memperjuangkan dan mempertahankan agamanya.

Amanah kepimpinan yang dipikul itu dilaksanakan kerana Allah atas keyakinan dan percaya pada al-Quran dan hadis.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. KHADHER AHMAD
Jabatan al-Quran dan al-Hadis, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya