Sedih PTPTN jadi bahan kempen PRU15 - Utusan Malaysia

Sedih PTPTN jadi bahan kempen PRU15

PINJAMAN Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah memberi manfaat kepada 2.8 juta rakyat Malaysia. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TERDAPAT pelbagai jenis pinjaman pendidikan di negara kita dan antara paling popular adalah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di mana lebih 2.8 juta rakyat mendapat manfaat sejak penubuhannya, 20 tahun lalu.

Isu pinjaman pendidikan sentiasa mendapat tempat di negara kita berbanding jenis-jenis pinjaman lain seperti pinjaman perumahan dan peribadi kerana ramai generasi muda memohonnya bagi melanjutkan pelajaran di universiti.

Ia sentiasa menjadi isu hangat kerana terdapat ramai peminjam yang liat, lewat dan gagal untuk melunaskan pinjaman mengikut tempoh ditetapkan selepas tamat pengajian.

Pelbagai alasan diberikan termasuk belum mendapat pekerjaan, jumlah pendapatan diperoleh tidak mencukupi untuk membayar hutang, kos sara hidup masa kini meningkat dan banyak lagi.

Dalam pada itu, apa yang menyedihkan ialah tiap kali tiba musim pilihan raya termasuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), isu ini mendapat tempat dalam kalangan ahli politik kita.

Terbaharu dalam manifesto sebuah gabungan politik yang diumumkan pada Ahad lalu, ia berjanji untuk mengurangkan bayaran balik pinjaman PTPTN sebanyak 25 peratus kepada graduan kelas dua ke atas.

Buat sekian lama, pelbagai jenis janji manis dilemparkan dalam kalangan ahli politik kepada para peminjam termasuk potongan atau diskaun bayaran balik sehingga pemansuhan terus segala hutang.

Akibat janji seperti ini, peminjam mengambil mudah soal bayaran balik pinjaman mereka dan ada yang mengambil peluang untuk menjadi malas dan tidak membayar kerana menunggu janji-janji manis itu dipenuhi ahli politik yang suka berjanji.

Tangguh

Janji manis berkenaan seolah-olah memberi satu isyarat kepada peminjam bahawa tidak salah mereka terus berlengah-lengah, menangguhkan serta tidak terus membayar balik segala pinjaman yang telah dibuat.

Akhirnya, ia mengakibatkan generasi muda yang bakal menempuh alam pekerjaan dan berumah tangga menjadi individu tidak bertanggungjawab dan bersikap sambil lewa terutama dalam aspek pengurusan kewangan pada masa hadapan kelak.

Selain itu, penting untuk semua peminjam ketahui, segala janji manis dilemparkan belum tentu lagi dapat dipenuhi kerana tiada kepastian ahli politik yang berjanji akan menang pilihan raya.

Satu lagi hakikat harus diketahui peminjam ialah status manifesto pilihan raya itu sendiri yang tidak terikat dengan kuasa undang-undang.

Sekiranya manifesto pilihan raya tidak dapat dipenuhi kelak, agak sukar untuk kita mengambil tindakan undang-undang bagi memaksa pembuat janji-janji manis itu memenuhinya.

Dalam pada itu, saya berpendapat, tidak salah sekiranya kita lantang bersuara untuk membantu para peminjam pendidikan melunaskan segala hutang mereka dengan memudahkan proses pembayaran balik pinjaman.

Namun, satu perkara pokok yang penting diingatkan kepada para peminjam bahawa setiap hutang perlu dibayar balik mengikut terma perjanjian yang telah dibuat dan tanpa berlengah-lengah.

Ibarat kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya, orang muda khususnya harus dididik dari awal supaya mereka lebih berdisiplin untuk melunaskan segala tanggungjawab mereka. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya