SAUDARA PENGARANG,
HIMPUNAN Bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) atau Himpunan 812 (sempena tarikh perhimpunan pada 8 Disember 2018) di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur menjadi saat paling manis bagi kami, akar umbi Pas.
Kami dapat merasai kemanisan iman, kesatuan umat Nabi SAW. Sempadan politik Pas dan UMNO hilang, tiada perbezaan pendapat, tiada had usia dan keturunan, tanpa sempadan negeri dan tidak juga tahap pendidikan menjadi halangan untuk kita semua bersatu.
Perhimpunan dari negeri ke negeri sehingga kemuncaknya di Dataran Merdeka itu membuka mata kami bahawa bukan Pas sahaja yang memperjuangkan Islam.
Malah mana-mana orang Islam yang mencintai Nabi SAW sedia bertaut hati, berkorban tenaga dan masa untuk berjuang demi Islam. Terbukti apabila kita menolak agenda asing supaya Malaysia meratifikasikan ICERD, ahli-ahli Pas dan UMNO bersatu.
Dakwaan wujud sempadan politik antara kedua-dua parti itu sebenarnya hanya salah faham pendapat yang selama ini dikaburi oleh ego, perasaan benci dan minda tertutup kelompok tertentu.
Pada jelajah himpunan tolak ICERD peringkat negeri dan Himpunan 812 itu, laungan perjuangan sama, takbir menjadi milik bersama. Manisnya rasa iman dan pada ketika itu, saya dan rakan-rakan dalam Pas menyaksikan saudara kita dalam UMNO adalah orang yang sama seperti kami.
Warna pakaian, kopiah, tempat sujud dan slogan perjuangan Islam bukan milik Pas. Semua identiti itu adalah cerminan orang-orang Islam di Malaysia.
Ujian dan cabaran yang Allah SWT paparkan setelah Pakatan Harapan (PH) menerajui pemerintahan negara itu menyuntik hidayah dan keinsafan mendalam kepada kami di peringkat akar umbi Pas.
Prejudis
Kemanisan iman dan kesatuan ummah itu bertambah semarak sebagai Muafakat Nasional (MN). Rakyat menyaksikan masa depan yang baik dan penuh rahmat menerusi MN.
Kami pada peringkat akar umbi Pas dan UMNO bergerak bersama, hadir aktiviti dan perjumpaan yang penuh kasih sayang tanpa prejudis dan muslihat politik.
Semuanya kerana sedar dan nampak masa depan yang lebih baik untuk Malaysia dengan penyatuan ummah. Tentunya bangsa dan penganut agama lain turut mendapat manfaatnya daripada perpaduan itu.
Namun, semangat MN luntur apabila Perikatan Nasional (PN) muncul dan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus bermuslihat dan membiarkan saudara-mara kita dari UMNO menempuhi krisis imej pertubuhan mereka.
Kemuncaknya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, kami akar umbi menyaksikan pemimpin Pas mengutamakan PN daripada MN yang kami galas selama ini.
Jika ada empati, tentu sahaja pemimpin Pas terutama yang ada jawatan besar dalam kerajaan dapat menyaksikan kekecewaan, rintihan dan air mata kami di Melaka.
Ahli UMNO adalah saudara kami yang sejiwa dan seiman dalam MN berbanding kerjasama dengan Bersatu yang penubuhan parti mereka nampaknya cuma berlandaskan kekecewaan dan dendam.
Oleh itu, kami berharap kepimpinan Pas faham bahawa kami di peringkat akar umbi akan terus mendukung perjuangan MN dan mahu terus menikmati kemanisan penyatuan ummah. – UTUSAN
DR. MOHD. SHUKOR SARIMIN, Aktivis Pas Kampung Anjung Batu, Melaka