SAUDARA PENGARANG,
DI Malaysia, kerjaya profesional sebagai juruukur bahan di kawal selia oleh Lembaga Juruukur Bahan Malaysia (LJBM) melalui Akta Juruukur Bahan 1967 serta pindaan akta terkini.
Setiap program ukur bahan di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda perlu mendapat akreditasi melalui proses penilaian yang dilaksanakan oleh Majlis Akreditasi Ukur Bahan sebagai salah satu jawatankuasa di bawah LJBM dengan kerjasama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Di samping itu, terdapat juga penyedia pendidikan tinggi luar negara yang beroperasi di Malaysia atau di luar negara juga memperoleh akreditasi ini.
Ini bermakna hanya graduan dari program Sarjana Muda Ukur Bahan yang diakreditasi oleh LJBM layak untuk memohon pendaftaran sebagai provisional quantity surveyor atau dahulunya dikenali sebagai juruukur bahan siswazah yang sekali gus layak untuk menaik taraf kategori pendaftaran kepada juruukur bahan profesional (PQS) dan juruukur bahan konsultan (CQS).
Susulan kemunculan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) dan bagi mengukuhkan daya saing, juruukur bahan perlu meningkatkan kemahiran dan pengetahuan seiring dengan perkembangan teknologi dan digitalisasi industri pembinaan negara.
Kemampuan menguasai IR4.0 akan membolehkan firma meningkatkan produktiviti melalui integrasi dan automasi.
Sebagai contoh, penggunaan perisian pemodelan maklumat bangunan (BIM) mampu meningkatkan kecekapan dan ketepatan anggaran kos dan pengurusan projek dengan memperbaiki koordinasi dan komunikasi antara semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan projek.
Lulusan ukur bahan mempunyai peluang pekerjaan yang luas, bukan hanya terhad dalam sektor berkaitan dengan pembinaan bangunan tetapi undang-undang, minyak dan gas, tenaga, telekomunikasi, air, perbankan serta insurans.
Kemahiran dan pengetahuan dalam bidang perolehan dan kontrak serta pengurusan projek juga membolehkan graduan berkhidmat di syarikat berkaitan sektor makanan dan minuman seperti Starbucks dan McDonald’s.
Kini, firma ukur bahan meneroka pelbagai projek khas berkaitan rawatan air, rawatan kumbahan, tenaga boleh diperbaharui, mitigasi banjir dan konservasi.
Pengetahuan dan kemahiran berkenaan kos, perolehan dan kontrak serta pengurusan projek di samping penguasaan teknologi mampu memastikan profesion ukur bahan ini kekal relevan seiring peredaran zaman.-UTUSAN
DR. MAHANIM HANID & PROFESOR MADYA DR. MOHD. SUHAIMI MOHD. DANURI
Universiti Malaya