SAUDARA PENGARANG,
PADA 28 September lalu, Kementerian Kesihatan memaklumkan mereka memohon peruntukan tambahan untuk kesihatan mental sebanyak 2.5 peratus dalam Bajet 2023. Perkara ini mendapat tumpuan daripada pelbagai pihak kerana trend kes bunuh diri menunjukkan peningkatan sebanyak 81 peratus pada 2021 berbanding 2020. Sebanyak 1,142 kes dilaporkan untuk 2021 oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berbanding 631 kes pada 2020.
Malaysia mempunyai Akta Kesihatan Mental 2001 dan Peraturan Kesihatan Mental 2010 yang memfokuskan kepada isu dari segi penjagaan psikiatri termasuk rawatan, kawalan, perlindungan dan rehabilitasi.
Akan tetapi, akta dan polisi tersebut adalah dari segi perubatan dan rawatan secara am.
Namun, apa yang diperlukan dengan situasi sekarang adalah galakan bagi pembuatan polisi melindungi pekerja yang mengalami isu dalam kesihatan mental.
Polisi spesifik bagi melindungi golongan pekerja yang terjejas perlu disediakan dan diperhalusi oleh organisasi di negara ini. Ini kerana mereka juga tergolong sebagai orang kurang upaya (OKU) secara mental tetapi mempunyai bakat, ilmu dan keupayaan yang menyumbang kepada prestasi dan kemajuan organisasi seperti pekerja normal.
Tanpa polisi meyakinkan, pekerja kebanyakannya tidak mahu berterusterang secara terbuka kepada majikan, lantas menyebabkan rawatan awal tidak boleh didapati. Ini menyebabkan keadaan menjadi bahaya kerana mereka hanya akan mendapatkan rawatan setelah kesihatan mental terjejas teruk dan proses pemulihan akan menjadi lebih lama. Berkemungkinan juga ada yang tidak akan mendapatkan rawatan langsung yang menyebabkan keadaan menjadi lebih bahaya sehingga menggunakan jalan terakhir iaitu cubaan untuk bunuh diri.
Persoalannya, siapakah yang perlu ke hadapan dengan inisiatif polisi ini dalam sesebuah organisasi? Adakah perlu datang daripada Jabatan Sumber Manusia atau pengurusan tertinggi dalam organisasi?-UTUSAN
DR. SAFIAH OMAR
Universiti Malaya