SAUDARA PENGARANG,
PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini mungkin sedikit berbeza kerana terdapat 5.7 juta pengundi terdiri daripada anak muda bakal menjadi penentu tahap sokongan terhadap parti-parti politik yang bertanding.
Setiap parti dilihat mempunyai potensi dan peluang dengan menampilkan calon-calon daripada kepelbagaian latar belakang yang boleh menambat hati para pengundi.
Pastinya pengundi mahukan sebuah kerajaan yang stabil serta mampu mengurus negara dan rakyat dengan lebih baik, bertanggungjawab dan beramanah. Rakyat boleh diumpamakan seperti seorang bos yang akan menilai pekerja (calon parti) menerusi peti undi bagi dipilih berkhidmat untuk mereka.
Asas pertimbangan yang kuat adalah dengan mengambil pendekatan Imam Ahmad yang lebih mendahulukan kepentingan seorang pemimpin mempunyai sifat quwwah serta bersikap amanah berbanding seseorang pemimpin memiliki sifat warak tetapi tidak mempunyai keupayaan untuk mengurus negara dan rakyat. Ini bertujuan mengimbangi gaya kepimpinan dalam politik Islam.
Berlaku salah faham dalam politik orang Melayu pada hari ini yang terus menerus memainkan sentimen perkauman dan agama. Contohnya, memusuhi parti Melayu yang bersama DAP malah menjadi amalan ratib para penyokong dengan begitu mudah melabelkan sebagai serpihan komunis.
Bukankah perbuatan mereka ini sudah boleh dianggap melampau dan ekstrem? Islam sama sekali menolak dan tidak menerima Muslim yang ekstrem. Dalam surah alMumtahanah ayat kelapan menjelaskan bahawa Islam tidak membataskan umatnya untuk berbuat baik atau menjalinkan hubungan kerjasama politik dengan bangsa lain seperti DAP, bahkan menaungi semuanya tanpa mengira perbezaan agama dan budaya.
Justeru, usahlah memandang serong terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang mempunyai perbezaan dari sudut politik. Janganlah terperangkap dalam kejumudan dan kebekuan minda semata-mata untuk dilihat waras atau rasional.
Oleh itu, diharap para pengundi bijak memilih berdasarkan kriteria calon, bukannya mengikut kepartian dalam PRU kali ini. Ini kerana masih terdapat parti politik yang mempetaruh calon-calon ‘kakak tua’ bagi memastikan kemenangan.
Alangkah bagusnya mereka yang diangkat menjadi wakil rakyat nanti kebanyakannya terdiri daripada muka-muka baharu yang segar malar, lebih e sien dan bertenaga.-UTUSAN
TOK WALI SONGEI
Pulau Pinang