SAUDARA PENGARANG,
POPULASI warga emas di negara ini terus meningkat dan berisiko untuk mendapat pelbagai masalah termasuk kesihatan pergigian disebabkan perubahan fisiologi dalam proses penuaan serta amalan gaya hidup.
Dalam aspek kesihatan mulut, warga emas berisiko untuk kehilangan gigi akibat masalah gusi dan kerosakan gigi. Masalah kehilangan gigi dalam kalangan warga emas membawa kepada penggunaan gigi palsu.
Jangka hayat gigi palsu bergantung pada transformasi gusi, tulang rahang dan perubahan permukaan gigi palsu. Jika terdapat perubahan pada rongga mulut pesakit, penggunaan gigi palsu yang sama untuk jangka masa panjang akan memberi impak negatif kepada kesihatan mulut.
Secara umumnya, pesakit disaran menggantikan gigi palsu selepas tujuh hingga 10 tahun (atau mengikut keperluan pesakit). Dalam tempoh ini selalunya berlaku perubahan fisiologi pada rongga mulut dan transformasi struktur gigi palsu yang mungkin mengakibatkan gigi palsu tidak lagi sepadan dan berlaku perubahan pada rupa paras si pemakai.
Antara tanda gigi palsu terlalu lama digunakan apabila ia mula longgar dan mudah terkeluar. Malah permukaannya juga boleh bertukar warna, mempunyai kesan hakisan dan calar jika digunakan dalam tempoh masa yang lama.
Selain itu, jangka hayat gigi palsu juga bergantung kepada cara pemakaian dan penjagaan. Gigi palsu yang tidak dibersihkan dan dibiarkan kotor boleh menyebabkan pengumpulan plak mengandungi bakteria dan infeksi pada tisu mulut.
Justeru, pengamal pergigian juga bertanggungjawab untuk memberi nasihat kepada pesakit yang memakai gigi palsu tentang cara penjagaan yang betul dan mengenal pasti tanda-tanda bermasalah.
Kajian saintifik menunjukkan gigi palsu yang berfungsi dengan baik boleh memberi impak positif kepada kualiti hidup warga emas.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. NOSIZANA MOHD. SALLEH DAN PROFESOR MADYA DR. NOR AZLIDA MOHD. NOR
Universiti Malaya