Pendidikan politik pengundi 18 tahun tidak cukup

Pendidikan politik pengundi 18 tahun tidak cukup

KEBANYAKAN pengundi Melayu menolak parti yang diselubungi isu rasuah. – GAMBAR HIASAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERTAMA kali dalam sejarah pilihan raya Malaysia apabila negara selama beberapa hari menghadapi situasi Parlimen tergantung kerana tiada parti yang melepasi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Melihatkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini, saya boleh simpulkan rata-rata rakyat Malaysia kini menolak sesebuah parti yang terlampau ekstremis perkauman dan agama namun begitu golongan progresif ini bukan kumpulan pengundi utama.

Dalam pada itu, segmen pengundi Melayu khususnya masih terperangkap dalam lensa konservatif dengan menggantikan Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) hanya kerana mereka menolak parti yang diselubungi isu rasuah.

Pada pandangan saya, ini adalah petanda baik apabila rakyat mula fokus dan mengambil kira isu rasuah dan integriti seseorang pemimpin. Malah, ketika kempen PRU15 baru-baru ini, perang soal calon berintegriti dan rasuah kerap dimainkan dan menjadi penyumbang penolakan besar-besaran terhadap calon BN.

Ini boleh dilihat apabila penyokong ultra-Melayu yang kecewa memilih untuk mengundi PN berbanding BN. Di kawasan bandar pula, pengundi masih memilih untuk mengekalkan Pakatan Harapan (PH).

Dalam pada itu, saya lihat, pendidikan politik belum cukup dalam kalangan pengundi berumur 18 tahun sehingga mengakibatkan sebahagian besar mereka memilih untuk mengundi parti yang memperjuangkan kaum.

Hal ini dapat dilihat apabila tindakan sesetengah anak muda yang masih memainkan isu perkauman dan tragedi 13 Mei tanpa memahami sejarah itu sendiri dengan lebih lanjut.

Oleh itu, masih banyak perlu dilakukan dalam membuka mata anak-anak muda dalam pendidikan politik negara dan usaha ini perlu dilakukan secara berterusan dari semasa ke semasa.-UTUSAN

YUSLAINI AZMI
Setiausaha PKR Cabang Batu, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya