SAUDARA PENGARANG,
WALAUPUN wujud perbezaan pendapat dalam kalangan parti-parti politik pembangkang, ia tetap mempunyai niat sama iaitu untuk menewaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang berterusan dalam skala besar merosakkan negara.
Perjuangan pemimpin-pemimpin UMNO dan BN hanyalah untuk agenda kepentingan peribadi bagi menutup setiap salah laku mereka.
Walaupun pernah tewas buat kali pertamanya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018, namun pemimpin-pemimpin korup mereka tidak pernah insaf.
Malahan, pemimpin terbabit semakin angkuh serta bersifat rakus kuasa demi menyelamatkan diri daripada tindakan undang-undang atas setiap kesalahan yang mereka lakukan.
Sebab itu, Gerakan Tanah Air (GTA) yang dipengerusikan Tun Dr. Mahathir Mohamad amat fokus dalam wadah perjuangan untuk menyelamatkan negara. GTA berusaha keras untuk menyatupadukan keseluruhan parti-parti politik pembangkang ke arah menewaskan UMNO serta BN.
Menewaskan parti-parti politik ini membawa erti kita akan berjaya untuk menyelamatkan masa depan bangsa dan negara. Hakikatnya, GTA yang diterajui Dr. Mahathir tidak pernah takut ataupun gentar dalam perjuangan politik.
Sesungguhnya juga, Dr. Mahathir bukan orang baharu dalam arena politik tetapi seorang negarawan berkelas dunia. Ke arah untuk merealisasikan matlamat ini, semua parti politik pembangkang kena bersatu padu secara total jika mahu menawan Putrajaya pada PRU15 ini.
Pemimpin-pemimpin pembangkang akan berjaya menumbangkan UMNO dan BN sekiranya sanggup membuang ego masing-masing, kembali ke meja rundingan dan seterusnya berpegang kepada semangat penyatuan seperti pada 2018 jika hendak menang lagi.
Angkuh
Perkara itu yang ditawarkan oleh Dr. Mahathir. Beliau amat ikhlas serta berjiwa besar demi masa depan bangsa dan negara. Kini keseluruhan rakyat dapat melihat keangkuhan pemimpin pembangkang lain menolak tawaran Dr. Mahathir untuk semua pihak berunding bagi mencapai matlamat sama.
Sampai tahap mana kita mahu Dr. Mahathir merendahkan dirinya merayu secara jujur serta ikhlas bagi memenangkan pembangkang? Dalam pada itu, tohmahan segelintir pengikut taksub pemimpin tertentu kononnya Dr. Mahathir cuba menyekat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri adalah amat meleset sama sekali.
Malahan, Dr. Mahathir pernah mencalonkan nama Anwar sebagai Perdana Menteri bersama tiga lagi wakil rakyat dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tetapi dalam pengundian tersebut, Anwar tewas kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sekarang sesiapa pun tidak boleh menyalahkan Dr. Mahathir lagi seandainya UMNO dan BN kembali berkuasa selepas PRU15.
Niat murni Dr. Mahathir telah dipamerkan secara terbaik mungkin demi untuk selamatkan negara tetapi pemimpin pembangkang lain lebih merelakan diri mereka dibelenggu oleh sifat egoistik atau individualistik yang terlalu tinggi.
Pembacaan politik Dr. Mahathir amat tepat pada kelazimannya, jadi pemimpin pembangkang lain ‘tepuk dada tanya selera.’
Syabas kepada Dr. Mahathir yang telah mempamerkan semangat merendah diri, berjiwa besar dan sanggup bermaafan sesama pembangkang demi masa depan bangsa mahupun negara.
Sesungguhnya, Dr. Mahathir masih relevan dan kekal berprinsip sejak dahulu, kini dan selamanya. – UTUSAN
KHAIRUDDIN ABU HASSAN, Pengerusi GTA Wilayah Persekutuan