Pastikan suhu di Malaysia tidak semakin panas

Pastikan suhu di Malaysia tidak semakin panas

KEJADIAN banjir yang menimpa Shah Alam, Selangor pada hujung tahun lalu disifatkan sebagai antara fenomena terburuk dalam sejarah Malaysia. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

AKHIRNYA telah terjawab persoalan yang menghantui minda rata-rata rakyat Malaysia yang sanggup beratur panjang, berjemurkan matahari dan merantau jauh ke halaman kampung untuk turun mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas pelantikan sebagai Perdana Menteri terbaharu. Kami rakyat Malaysia merayu agar kerajaan baru ini dengan serta-merta memberi tumpuan yang sepenuhnya terhadap memastikan kelangsungan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Hal ini adalah penting dalam keadaan negara yang berada dalam tempoh yang sangat kritikal disebabkan oleh isu-isu seperti wabak Covid-19 yang masih belum berakhir sepenuhnya dan keadaan ekonomi global yang tidak menentu serta kenaikan kadar inflasi yang memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat.

Selain itu, penekanan juga haruslah diberikan kepada isu-isu berkaitan alam sekitar memandangkan impak perubahan iklim dan pemanasan global semakin lama semakin jelas mengancam dunia dan Malaysia juga tidak terkecuali.

Dalam masa dua tahun ini sahaja, pelbagai bencana alam yang luar biasa telah kita alami akibat daripada cuaca ekstrem dan tidak menentu termasuk tragedi banjir besar ekoran penurunan hujan yang berterusan.

Kejadian banjir yang menimpa negara pada hujung tahun lalu disifatkan sebagai antara fenomena terburuk dalam sejarah Malaysia sehingga mengorbankan nyawa mengatasi jumlah kejadian banjir-banjir sebelum ini selain turut menyebabkan kerugian sebanyak RM6.1 bilion kepada kerajaan Malaysia.

Isu-isu lain seperti pembangunan industri yang tidak terancang, pembalakan, dan pencemaran juga semakin lama semakin menjadi-jadi. Adakah hanya selepas kesan yang lebih teruk menimpa negara ini kita akan mula mengambil tindakan?

Laporan Panel Perubahan Iklim Antara-Kerajaan (IPCC) yang berpangkalan di Switzerland menyatakan peningkatan suhu global yang kini berada di tahap 1.1 darjah Celsius dan akan terus meningkat sekiranya tindakan yang pantas tidak diambil untuk mengatasinya.

Jika suhu dunia meningkat dua darjah Celsius, bumi ini akan berada di tahap yang tidak boleh diduduki oleh manusia lagi. IPCC juga menyatakan tindakan berfokuskan kepada langkah-langkah mengadaptasi dan memitigasi haruslah menjadi keutamaan negara-negara seluruh dunia.

Ia turut menjadi agenda utama di Sidang Kemuncak Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) COP27 yang telah berlangsung di Mesir dari 6 hingga 18 November lalu.

Pada pemerhatian saya, Malaysia telah menyumbang secara aktif dan beberapa agenda utama COP27 termasuk berkaitan pasaran karbon, proses pelaporan dan semakan sasaran serta pembiayaan iklim.
Saya menyeru supaya segala tindakan dan keputusan yang akan diambil kerajaan baharu adalah berteraskan kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Bagi memperkukuhkan tindakan iklim di negara kita, antara langkah yang boleh diambil termasuk mengkaji semula, mengemas kini dan memperkukuhkan penguatkuasaan polisi dan dasar-dasar yang berkaitan alam sekitar.

Selain itu, keterlibatan pelbagai pihak termasuk golongan muda dan golongan terpinggir dalam proses perundingan dan membuat keputusan yang berkaitan alam sekitar dan perubahan iklim haruslah dipergiatkan.-UTUSAN

MOGESH SABABATHY
Aktivis belia alam sekitar

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya